Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Menderita Kanser Otak & Hanya Terlantar, Kini Mata Adik Aifa Pula Makin Kabur, Perlukan Sumbangan Semua Untuk Ringankan Beban

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi siapa yang kerap mengikuti perkongsian aktivis masyarakat, Natipah Abu di laman Facebooknya, pasti akan mengetahui pelbagai kisah yang mengundang air mata. Sering kali Puan Natipah melaporkan kepada kita kes-kes insan tertentu yang menagih bantuan daripada kita semua.

Antara insan istimewa yang difokuskan kini ialah Adik Aifa, 14 tahun, seorang remaja penghidap kanser otak yang menetap di Kedah. Dari hari ke hari, pasti ada-ada saja kisah terbaharu Adik Aifa yang dikongsikan Puan Natipah.

Mungkin ada yang belum tahu, Adik Aifa kesayangan kita ini sedang menderita sakit kanser. Kesihatannya lemah. Namun belum hilang ‘penat’ melawan tenat, remaja ini diuji sekali lagi apabila deria penglihatannya pula mengalami masalah.

Aidilfitri yang kita baru saja sambut secara serba sederhana beberapa hari lalu mungkin agak menyeronokkan, namun kemeriahan itu tidak langsung dirasai Adik Aifa. Mari ikuti perkongsian Puan Natipah yang terbaharu di bawah ini.

Mata kabur, hidup mulai ‘kelam’

Gambar: Natipah Abu

Nama: Nor Aifa Azira Abdul Aziz
Umur: 14 tahun
Penyakit: Kanser otak

Aidilfitri lalu, Aifa hanya sempat memakai baju raya selama 10 minit saja. Sebaik diangkat dan diletakkan di atas kerusi roda untuk dibawa keluar beraya di sekitar rumah, Aifa tiba-tiba ‘tarik’.

Dua hari sebelum menjelang Aidilfitri, Aifa mengadu penglihatannya kabur. Encik Aziz (ayah) membawa Aifa ke sebuah kedai cermin mata. Hancur luluh hati si ayah bila optometrist mengesahkan sebelah mata Aifa sudah tidak nampak langsung. Sebelah lagi, sudah kabur.

Untuk melegakan keadaan, Encik Aziz tetap buatkan Aifa cermin mata. Tapi, Aifa enggan menggunakan cermin mata. Dan Aidilfitri Aifa juga tidak semeriah yang dia harapkan kerana dia sudah hampir hilang deria penglihatannya.

Encik Aziz pula yang sebelum ini bekerja di sebuah bengkel kereta di Langkawi, kini terpaksa melupakan pekerjaannya walaupun mempunyai tanggungan yang ramai (lima orang) demi menumpukan perhatian kepada Aifa yang sangat memerlukan sokongan orang-orang yang dikasihinya.

Bercuti di hotel untuk tenangkan fikiran, tapi tiada lagi makna

Gambar: Natipah Abu

Untuk mengembalikan keceriaan dan mengelakkan Aifa daripada terus tertekan, kita membawa Aifa dan keluarga berehat di Raia Hotel & Convention Centre (TH Hotel) selama dua malam sejak hari raya ketiga.

Hotel itu hanya 10 minit saja dari rumah Aifa tetapi Encik Aziz mengambil masa sejam untuk sampai ke sana kerana sepanjang perjalanan, dia terpaksa berhenti tiga kali. Aifa ‘tarik’ tiga kali dalam selang masa yang singkat.

“Ayah, jom kita naik bilik,” kata Aifa.

“La, buat apa nak naik bilik? Sini kan seronok. Tengok kolam ni cantik haa,” balas Encik Aziz.

“Nak buat apa, bukan nampak apa dah..” ujar Aifa, pasrah.

Sedih sungguh Encik Aziz mendengar kata-kata Aifa. Ya, hari ini, penglihatan Aifa kian merosot hatta tidak mampu melihat wajah orang lagi. Dan keadaan ini benar-benar memberi tekanan kepada Aifa.

Gambar: Natipah Abu

Mujurlah ada nenek, hanya nenek saja yang mampu buat Aifa rasa tenang. Tahu nenek ada di sisi, Aifa akan lena dengan nyenyaknya.

“Kak, cepat sungguh mata dia tu kak. Sebelum ni ok lagi. Dalam sekelip mata saja dah tak nampak. Kak, kita nak buat macam mana kak?” tanya Encik Aziz menyuarakan pilu hatinya.

Rasanya Encik Aziz memang sedia maklum ‘jawapan’ untuk soalannya. Cuma jauh di sudut hatinya masih ada sekelumit pengharapan.

“Kak pun tak tau nak buat apa Aziz. Kita berdoalah ya..”

Teman-teman, Aifa perlukan kita

Gambar: Natipah Abu

Keadaan Adik Aifa sangat menyentuh hati kita semua. Ketika di saat si gadis ini sedang bertarung nyawa melawan kanser otak demi meneruskan hidup, matanya pula telah ‘tertutup’ secara tidak dijangka. Jika dulu dia berpeluang melihat indahnya dunia walaupun sedang sakit, kini apa yang dilihatnya mungkin tidak seindah dulu lagi.

Bak kata Puan Natipah, Encik Aziz sebenarnya masih meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Adik Aifa kembali melihat dunia secara sempurna. Ya, pasti ada jalan keluar untuk cabaran ini. Kalau tidak, kenapa Allah pernah berfirman bahawa Dia tidak akan menguji seseorang itu melainkan insan itu mampu?

Teman-teman, Adik Aifa perlukan bantuan kita. Mungkin pada mata kita, remaja ini hanyalah penghidap kanser otak dan pesakit mata sahaja. Namun di sebalik tabir yang jauh dari mata kasar kita, mungkin ada 1001 ‘cerita’ lagi yang kita tidak tahu. Maka dengan itu, marilah bersama-sama kita hulurkan tangan untuk ringankan beban mereka.

Jika sudi, marilah menyumbang kepada Adik Aifa melalui nombor akaun bank ayahnya, ABDUL AZIZ BIN DIN, 7613459761 (CIMB Bank) atau boleh terus hubungi Puan Natipah di laman Facebooknya, Natipah Abu. Semoga apa yang kita beri ini dapat kembalikan semula senyum Adik Aifa yang pernah ‘hilang’ satu ketika dahulu.

Tuhan, izinkan Adik Aifa untuk melihat dunia kembali.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'