Siakap Keli
Kredit: Bernama/Google

Kes Kewarganegaraaan Anak Tidak Sah Taraf Akan Dibangkitkan Kepada Kerajaan – Zuraida

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) Datuk Zuraida Kamaruddin akan membangkitkan kes berhubung kewarganegaraan seorang anak tidak sah taraf yang gagal dalam kesnya di mahkamah kepada menteri bertanggungjawab atau Kabinet.

Beliau berkata ini bagi memastikan kanak-kanak itu mendapat status kewarganegaraan secara pendaftaran mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya beliau mengambil maklum keputusan majoriti panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas bahawa seorang anak tidak sah taraf tidak layak mendapat kerakyatan walaupun bapanya warganegara Malaysia.

“Walaupun kami menghormati keputusan yang dibuat badan kehakiman dalam melaksanakan tugas perlembagaan mereka, saya perlu menyatakan tidak setuju dalam kes ini.

“Kes ini yang mengesahkan lagi kes-kes berkaitan status kerakyatan anak tidak sah taraf yang telah pun diputuskan sebelum ini, sangat bertentangan dengan semangat keadilan dan belas ihsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar tidak sah taraf.

“Sudah tiba masanya untuk kita tamatkan kerosakan yang ditimpa kepada orang yang tidak bersalah ekoran peruntukan yang sudah ketinggalan zaman, iaitu Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan yang digunakan untuk penghakiman majoriti dalam kes tersebut,” katanya.

Zuraida berkata beliau komited ke arah pemansuhan atau pindaan perkara itu dan akan membangkitkannya kepada kerajaan.

Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 4-3, menolak rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang bapanya warganegara Malaysia dan ibunya rakyat Filipina, bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Keputusan majoriti itu memutuskan Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah adalah mengikut kewarganegaraan ibunya.

Sumber: BERNAMA

"