Siakap Keli

37 Jemaah Dikompaun Solat Berjemaah Di Surau, Masjid

KOTA BHARU, 1 Jun – Sebanyak 37 jemaah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas didapati menunaikan solat isyak berjemaah di sebuah surau dan masjid di Chetok, Pasir Mas,Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kesemua jemaah berusia antara 20 hingga 70 tahun yang tidak menyembunyikan aktiviti mereka itu didapati ingkar SOP dalam pemeriksaan kira-kira 9 malam.

Beliau berkata kesemua mereka dikompaun kerana didapati tidak memakai pelitup muka dan melanggar Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2021.

“Pada Jumaat (28 Mei) polis mendapat maklumat awam mengenai aktiviti solat berjemaah di kedua-dua lokasi tersebut. Sepasukan anggota dari Balai Polis Tok Uban telah pergi untuk menasihati mereka supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Namun pada Ahad (30 Mei), polis masih mengesan aktiviti solat isyak berjemaah. Berikutan itu sembilan orang dikenakan kompaun selepas didapati melakukan solat berjemaah di sebuah surau manakala 28 orang lagi di masjid, kedua-duanya di Chetok, Pasir Mas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan beberapa individu ketawa sambil secara beramai-ramai menunjukkan surat kompaun sebanyak RM1,500 yang dikenakan ke atas mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Nasaruddin berkata, penduduk di kawasan kampung sepatutnya mengambil iktibar daripada penularan COVID-19 yang kini melanda Kelantan.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh menyebabkan berlakunya jangkitan dan tindakan kompaun adalah jalan terakhir yang dilakukan pihak berkuasa selepas sudah acap kali nasihat diberikan tidak dipatuhi.

“Saya ingin menasihati seluruh masyarakat Pasir Mas khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman supaya sama-sama mematuhi SOP agar tidak menjangkiti orang lain ataupun dijangkiti,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.