Siakap Keli

Moratorium 3 Bulan & Pengurangan Bayaran Ansuran 50 Peratus Selama 6 Bulan, Ini Cara Untuk B40, M40 & T20 Buat Pilihan Dari Bank

Macam yang korang semua tahu, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan total lockdown selama 2 minggu bermula 1 Jun lalu memandangkan kes jangkitan COVID-19 yang membimbangkan ketika ini. Bersama-sama lockdown berkenaan, kerajaan juga mengarahkan beberapa sektor ekonomi ditutup, yang mana tujuannya untuk mengehadkan pergerakan orang ramai.

Sebaik sahaja PM mengumumkan lockdown, ramai yang mula tak sedap hati, kerana penutupan sektor ekonomi tertentu bakal menjadi petanda bahawa pendapatan akan terjejas. Kalau pendapatan terjejas, macam mana nak bayar hutang dengan pihak bank kan?

Mujurlah, kerajaan kemudian turut mengumumkan beberapa pakej bantuan untuk membantu orang ramai yang mungkin terjejas teruk sepanjang tempoh lockdown ini.

Selain bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), kerajaan juga mengumumkan bantuan bayaran balik pinjaman termasuk moratorium secara automatik kepada para peminjam yang mengalami kesukaran membayar ansuran bulanan mereka.

Tetapi, timbul sedikit persoalan dan kekeliruan, ada yang mendakwa moratorium ditawarkan ini hanya terpakai kepada golongan B40 sahaja, manakala kumpulan M40 dan T20 dipinggirkan, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat umum.

Persoalannya, betul ke dakwaan tersebut?

Dua pilihan utama yang ditawarkan.

Sebelum kita jawab persoalan di atas, elok terlebih dahulu kita memahami dua opsyen bantuan bayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh PM sebelum ini.

Opsyen pertama yang disebut oleh PM adalah, pihak bank akan menawarkan tempoh moratorium selama 3 bulan kepada individu yang kehilangan pekerjaan, B40 (dalam senarai BSH/BPR), perusahaan mikro (bagi kemudahan pinjaman sehingga RM150,000) serta PKS termasuk perusahaan mikro yang tidak dapat beroperasi disebabkan lockdown.

Manakala opsyen kedua, kumpulan-kumpulan yang disebut di atas juga boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

Betul ke moratorium ini hanya untuk kumpulan B40 je?

Jawapannya adalah TIDAK BETUL. Semua golongan peminjam individu sama ada golongan B40, M40 dan T20, yang hilang pekerjaan serta PKS yang tidak dapat beroperasi layak mendapatkan moratorium yang diumumkan oleh kerajaan.

Menurut BNM, selain daripada bantuan diberikan kepada individu yang hilang pekerjaan, semua peminjam individu yang mengalami pengurangan pendapatan (gaji, elaun, bayaran kerja lebih masa, komisen dan pendapatan isi rumah) juga boleh mendapatkan pengurangan ansuran selaras dengan pendapatan yang berkurang itu. Jadual dibawah memberi gambaran yang lebih jelas lagi tentang bantuan-bantuan yang ditawarkan.

Sumber: https://www.bnm.gov.my/RA

Selain itu, pihak bank juga turut menawarkan bantuan khusus lain yang bersesuaian dengan keperluan dan keadaan kewangan peminjam. Apa yang peminjam kena buat adalah hubungi pegawai bank dan pilih opsyen pilihan hati.

Manakala bagi peminjam perniagaan pula, bantuan yang disediakan adalah seperti berikut:

Sumber: https://www.bnm.gov.my/RA

Sama seperti peminjam individu, pihak bank juga turut menawarkan bantuan khusus yang lain, sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan peminjam. Butiran mengenai bantuan ini boleh didapatkan dengan cara menghubungi bank masing-masing.

Macam mana nak pilih opsyen yang ditawarkan?

Caranya sangat mudah, sama ada anda peminjam individu ataupun peminjam perniagaan, hanyalah perlu menghubungi bank masing-masing dan berbincang untuk memilih salah satu pakej bantuan yang ditawarkan, sesuai dengan situasi kewangan yang sedang anda hadapi.

Selepas anda berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh pegawai bank dan membuat pilihan, pihak bank akan memproses opsyen yang anda pilih dengan segera.

Sekiranya anda mengalami kesukaran untuk berhubung dengan bank, anda boleh membuat aduan dengan menghubungi BNMTELELINK atau mengisi borang aduan di bnm.my/RAsurvey. BNM akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyelesaikan masalah yang anda hadapi.

Jika memerlukan nasihat dan bantuan alternatif bayaran balik pinjaman, anda boleh menghubungi Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) https://services.akpk.org.my.

Bagaimanapun, sekiranya anda mampu untuk melunaskan pinjaman bank seperti biasa, teruskan sahaja membuat ansuran bulanan. Jika anda membayar komitmen bulanan anda dengan bank seperti biasa, ia adalah opsyen yang lebih baik kerana kos pinjaman keseluruhan tidak akan bertambah.

CCRIS terjejas ke?

TIDAK. Menurut BNM, peminjam individu dan perniagaan (termasuk perusahaan mikro) yang mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman sepanjang tahun ini (dan juga tahun lepas) daripada pihak bank, rekod CCRIS anda tidak akan terjejas.

Jadi, anda tidak perlu khuatir, tidak kira sama ada anda dalam kumpulan B40, M40 ataupun T20. Sekiranya anda kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan terjejas, anda juga berhak dan layak untuk mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman seperti yang diumumkan oleh PM baru-baru ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman, anda boleh layari laman web, Facebook, IG, dan Twitter BNM.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.