Sedar tak sedar, dah hampir dua tahun kita menjalani hidup dengan norma baharu. Memakai pelitup muka sudah menjadi kebiasaan semenjak pandemik COVID-19 melanda dunia.
Dalam tempoh ini juga, pelbagai jenis pelitup muka yang kita nampak dijual di pasaran. Bukan sahaja mampu mengelakkan jangkitan wabak, pelitup muka dengan pelbagai corak dan warna ini juga mampu menarik minat orang ramai untuk memakainya.
Namun berbeza pula di Jepun, negara matahari terbit ini mencipta pelitup muka tiga dimensi yang diberi nama Mask Pan. Mask merujuk kepada pelitup muka manakala pan bermaksud roti dalam bahasa Jepun.

Fizikal pelitup muka ini sama seperti roti melon, roti yang sangat popular di negara itu. Bukan sahaja mengambil inspirasi dari bentuk roti melon, malah pelitup muka ini memang diperbuat daripada roti melon sebenar!
Ya, ia boleh dimakan dan merupakan rekaan pertama yang menggunakan makanan sebagai pelitup muka.
Menurut laporan Sora News 24, Mask Pan ini diwujudkan dari impian tiga orang pelajar universiti dari Fukuoka dan Okinawa iaitu Chisato Komorita, Tenmi Nagano dan Katsumi Ota.
Pelitup muka roti melon ini telah diuji secara klinikal oleh Unitika Garmentec Research Institute dan terbukti mampu memberi perlindungan kepada si pemakai.

Mask Pan akan mula dijual di Jepun secara atas talian pada 10 Jun ini dengan harga 1,800 yen atau kira-kira RM67.
Sumber: Sora News 24