Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

STPM: Remaja Autistik Peroleh PNGK 4.0, Jadi Pelajar Terbaik Sekolah

Azizah Najib
stpm remaja autistik
Kredit: Bernama

STPM: Remaja Autistik Peroleh PNGK 4.0, Jadi Pelajar Terbaik Sekolah

MACHANG, 24 Jun (Bernama) — Remaja autistik Alam Haikal Jansari Anuar mengejutkan ramai apabila muncul pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang pada keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Alam Haikal, 20, yang mengambil jurusan perniagaan memperoleh semua A dan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan itu berkata dia tidak pernah menganggap autisme sebagai kekurangan sebaliknya cabaran untuk berjaya dalam akademik.

“Saya percaya setiap kekurangan ada kelebihannya dan kejayaan hari ini merupakan rezeki Allah, disiplin dan ketekunan belajar setiap hari,” katanya kepada pemberita di sekolah itu hari ini.

Alam Haikal berkata dia memperuntukkan enam jam sehari untuk ulang kaji pada sebelah petang dan awal pagi dari 3 hingga 6 pagi.

BACA JUGA: STPM 2024 Catat PNGK Nasional 2.85, Tertinggi Dalam Sejarah

“Saya guna teknik belajar berbeza bagi setiap subjek. Saya sedar saya tidak sama seperti orang lain, jadi perlu cara belajar mengikut kemampuan diri.

“Saya tidak sangka menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah kerana menyasarkan mendapat PNGK 3.5 pada peperiksaan ini,” katanya sambil menambah dia juga sentiasa memastikan dirinya menjaga solat, istiqamah membaca al-Quran dan melakukan solat tahajud.

Alam Haikal bercita-cita menjadi guru bagi membuktikan anak autistik juga mampu berdikari dan berjaya jika diberi peluang dan kepercayaan.

Ibu Alam Haikal, Norlaila Ismail, 53, bersyukur dengan pencapaian anaknya dan mendoakan anak ketiga daripada enam beradik itu terus mencapai kejayaan pada masa depan.

“Alam Haikal anak pertama dalam keluarga kami berjaya mencapai kejayaan akademik sebaik ini,” katanya.

Norlaila berkata dua lagi anaknya juga orang kurang upaya (OKU), namun perkara itu tidak pernah menjadi beban sebaliknya kekuatan untuk mendidik mereka dengan baik.

Sumber: Bernama