Siakap Keli
Kredit: BERNAMA

Anda Kena Tahu, Ini Cara Bayar Bil TNB Guna Aplikasi Untuk Elak Ditipu

Sudah seminggu negara kita menjalani Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘Total Lockdown‘ Fasa Pertama bermula 1 Jun baru-baru ini sehingga 14 Jun nanti.

Sebagai salah satu perkhidmatan penting (essential service) yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) ada membuat beberapa perubahan & ini perkara-perkara penting yang anda wajib tahu.

Untuk makluman anda, pembacaan meter dan penyerahan bil secara fizikal akan berjalan seperti biasa. Ini bagi memastikan anda akan menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran.

Jangan risau, pembaca meter TNB seperti kebiasaannya akan ke rumah anda dan bertugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Kredit: BERNAMA

Selain itu, operasi Kedai Tenaga (KT) pula akan dipendekkan selama tiga jam sahaja, iaitu dari 9 pagi – 4 petang kepada 9 pagi – 1 petang sahaja.

Bagaimanapun, operasi perkhidmatan khidmat pelanggan TNB CareLine akan dilanjutkan selama dua jam lagi pada setiap hari, iaitu dari 8 pagi – 5 petang kepada 8 pagi – 7 petang.

Perlanjutan ini adalah untuk talian TNB CareLine 1-300-88-5454 dan emel [email protected] yang dikhususkan untuk pertanyaan berkaitan akaun dan bil.

Manakala waktu operasi perkhidmatan kiosk layan diri di KT tetap kekal dari pukul 8.15 pagi hingga 8 malam. Tidak kurang juga, kiosk akan disanitasi setiap dua jam berbanding empat jam sebelum ini.

Bagi masalah gangguan bekalan elektrik pula, anda diminta untuk menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine yang masih kekal beroperasi 24 jam.

Galak guna online je

Walaupun KT masih dibuka sepanjang ‘lockdown‘ ini, anda amat digalakkan untuk menggunakan kemudahan transaksi dalam talian TNB (online) bagi sebarang urusan transaksi, termasuklah semakan dan pembayaran bil.

Transaksi pula boleh dibuat di portal www.mytnb.com.my dan aplikasi myTNB supaya dapat mengurangkan keperluan untuk bersemuka.

Bukan apa, kan lagi mudah kalau semuanya guna online. Anda tidak perlu susah-susah keluar rumah, malah lagi selamat sebab di luar sana sangat bahaya. Wabak kan masih ‘panas’ lagi.

Macam mana nak guna myTNB?

Kredit: TNB/Wiser

Sekarang kan zaman aplikasi, semuanya di hujung jari je. TNB juga ada bangunkan aplikasi myTNB khas buat anda semua.

Dalam myTNB ini, anda boleh jalankan bermacam-macam urusan seperti ketahui kadar tarif semasa, mengetahui notifikasi dan info terkini, membuat pembayaran bil dalam talian dengan lebih pantas, menghantar maklum balas dan banyak lagi. Mudah kan?

Jom ikuti turutan muat turun myTNB di sini:-

  1. Muat turun aplikasi myTNB daripada Google Play Store, Apple Store atau Huawei AppGallery
  2. Bagi pendaftaran kali pertama, anda hanya perlu tekan ‘Daftar’ dan isi maklumat anda mengikut ruangan yang dipaparkan.
  3. Jika anda sudah mempunyai akaun TNB yang pernah didaftarkan sebelum ini, boleh tekan ‘Login’. Masukkan alamat emel, kata laluan dan PIN yang dihantar.
  4. Masukkan kod PIN yang dihantar ke nombor telefon anda melalui SMS.
  5. Selesai semuanya, anda bolehlah mengakses myTNB untuk mengetahui & menggunakan fungsi-fungsi yang disediakan. Senang je kan?

Kalau anda belum memilikinya, bolehlah muat turun aplikasi myTNB ini melalui Google Play Store, Apple Store atau Huawei AppGallery sekarang. Percuma je.

Di kala pandemik yang masih belum reda ini, sama-samalah kita menjaga kesihatan diri. Duduk di rumah, kita jaga kita.

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.