Siakap Keli

”Belum Pernah Berlaku Dalam Sejarah,” Ini Analisis Keputusan SPM 2020 Yang Ramai Tak Jangka

Semangat sudah berapi-api, segala latihan dan ulangkaji tersiap-sedia, apa yang ada dalam fikiran hanyalah misi mencipta masa depan. Itulah yang dirasai oleh semua calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun lalu.

Namun kedatangan wabak COVID-19 yang tidak diundang mengubah segalanya. Risiko sangat besar, tapi misi tetap perlu diteruskan. Demikianlah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mencatur Pelan B demi meneruskan juga SPM di kala wabak masih ‘mengganas’.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md. Jidin memaklumkan, SPM 2020 ini dilaksanakan dalam situasi yang cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Gambar: KPM

“Belum pernah berlaku dalam sejarah, kita adakan peperiksaan dalam situasi pandemik yang cukup besar.

“Menyedari kesukaran, menyedari cabaran yang bakal dihadapi dalam melaksanakan peperiksaan dalam tempoh yang mencabar ini, maka kita telah melaksanakan persiapan yang cukup rapi,” katanya dalam sidang media Keputusan SPM 2020 hari ini.

Mana tidaknya, calon SPM 2020 perlu mengisi Borang Deklarasi Saringan COVID-19 untuk mengetahui status kesihatan, selain dewan peperiksaan dibahagikan kepada bilik khas, bilik alternatif dan bilik isolasi.

Manakala daripada segi kekuatan tenaga khidmat, seramai 48,014 petugas peperiksaan di seluruh negara terlibat. Malah guru-guru bertugas di sekolah juga turut terlibat selain 24,848 pemeriksa ditugaskan untuk SPM 2020 ini.

Pencapaian meningkat, pandemik bukan alasan

Walaupun negara sedang ‘tenat’ mendepani jangkitan wabak yang entah bila penghujungnya, namun itu bukanlah satu alasan untuk calon-calon SPM ini menjalani peperiksaan dengan baik.

Tahukah anda, pakar pentaksiran dari luar negara yang terlibat dalam SPM 2020 adalah dari Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom (UK) dan Pearson, UK. Ianya adalah sebagai penanda aras serta jaminan kualiti pentaksiran di peringkat antarabangsa.

Baca: TERKINI: Keputusan Pencapaian SPM 2020 Terbaik Dalam Tempoh 5 Tahun

Manakala bagi Trend GPN dari 2016 ke 2020, gred didapati menurun dari tahun ke tahun. Gred terkini yang mencatatkan 4.80 menunjukkan ia adalah pencapaian terbaik yang direkodkan dalam tempoh lima tahun.Mengikut Gred Purata Nasional (GPN), pada 2019 lalu gred hanya merekodkan 4.86 manakala 2020 pula menurun kepada 4.80. Penurunan sebanyak 0.6 ini menunjukkan pencapaian calon SPM 2020 ternyata meningkat.

Perlu difahami, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar pun mengecil. Perbezaan ‘suasana’ dan fasiliti pendidikan tidak menjadikan kedua-duanya ‘berbeza’.

Selain itu, bagi prestasi mata pelajaran, sebanyak 43 mata pelajaran mencatatkan peningkatan, manakala 39 selebihnya pula alami penurunan serta hanya satu (1) sahaja yang kekal.

Bagi prestasi mata pelajaran teras misalnya, pada SPM 2019 lalu, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Moral mengalami peningkatan, manakala Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam pula menurun.

Namun rekod berubah pada SPM 2020 apabila Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral merekodkan peningkatan, sebaliknya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula yang menurun.

Dalam masa sama, peratusan pensijilan SPM 2020 juga lebih tinggi iaitu 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada SPM 2019. Berikut di bawah pula adalah perbezaan pensijilan calon berkeperluan khas atau CBK.

Bagi tahap penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merangkumi mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, rajah di atas menunjukkan kadar peratusan lebih tinggi dapat dicapai pada SPM 2020 berbanding 2019.

Berdasarkan kesemua data yang dilaporkan KPM di atas tadi, dapatlah kita mengakui secara umumnya bahawa pencapaian SPM 2020 adalah sangat memberangsangkan. Malah, ramai tidak menjangka ianya jauh lebih baik berbanding SPM terdahulu yang dilalui ketika tempoh ‘normal’.

Kesimpulannya, ini jelas membuktikan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak setahun yang lalu bukanlah halangan untuk pelajar-pelajar ini mencapai kejayaan dalam SPM. Pendek kata, mereka mampu sebenarnya.

Bak kata Mohd Radzi, anak-anak SPM 2020 ini adalah generasi yang hebat. Belum pernah lagi dalam sejarah pelajar menghadapi peperiksaan terbesar dalam suasana pandemik yang panjang… kecuali anda.

Pencapaian anda yang unik ini pasti akan dikenang selamanya dalam sejarah. Jutaan tahniah diucapkan kepada anda atas pencapaian SPM 2020 ini. Andalah pencetus kejayaan pendidikan negara!

Sumber: Sidang Media KPM