Siakap Keli
Gambar: FB Polis Daerah Petaling Jaya

Tular Dipercayai Kes Pukul Isu Sensitiviti Agama, 5 ‘Food Rider’ & Pelanggan Ditahan Polis

PETALING JAYA, 11 Jun – Seorang pelanggan dan lima (5) penghantar makanan (rider) ditahan polis setelah bergelut dalam satu kejadian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pada awalnya seorang penghantar makanan (rider) tidak berpuas hati kepada pelanggan berkenaan kerana didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

“Pengadu (rider) telah membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan tersebut serta menularkan kepada aplikasi komunikasi kumpulan ‘rider’ di kawasan tersebut.

“Keadaan ini telah menimbulkan kemarahan kepada sekumpulan ‘rider’ lain dan mereka telah pergi ke rumah pelanggan tersebut yang terletak di kawasan Sungai Way,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, pelanggan itu yang juga merupakan lelaki tempatan berusia 29 tahun telah dipukul oleh sekumpulan ‘rider’ tersebut sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan telah dibuat ke atas pelanggan dan juga lima (5) orang ‘rider’ lelaki tempatan berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut. Pihak polis masih mengesan lain-lain suspek yang masih bebas,” tambahnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan yang melukakan perasaan agama seseorang, serta di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana telah menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Orang awam dinasihatkan agar tidak menimbulkan apa-apa isu atau membuat provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan bangsa lain yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Sumber: FB Polis Daerah Petaling Jaya

"