Siakap Keli
Gambar: BBC

(Video) 9 Bulan ‘Jaga’ Anak Orang Lain, Kisah Pasangan Diberi Bayi Yang Salah Di Hospital, Naluri Ibu ‘Bongkar’ Segalanya

Selama ini mungkin kita menyangka, kes tertukar bayi ini hanya dalam filem dan drama sahaja. Namun, kejadian terbaru sebelum ini membuktikan ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja di luar sana.

Sepertimana yang berlaku kepada sepasang suami isteri di El Salvador  yang tertukar bayi mereka pada tahun 2015 yang lalu.

Lebih mengejutkan, bayi mereka telahpun tertukar selama sembilan bulan sehingga akhirnya bertemu semula pada tahun berikutnya.

Menurut BBC, Richard Cushworth dan pasangannya, Mercy telah diberikan bayi yang salah oleh pihak hospital pada 2015.

Malangnya, kedua-dua mereka tidak menyedari perkara tersebut sehinggalah ujian DNA mendapati bayi berkenaan bukan anak mereka.

Susulan itu, pasangan berkenaan terpaksa menunggu sehingga lapan bulan bagi menguruskan proses undang-undang untuk mendapatkan sijil kelahiran serta bayi mereka semula.

Naluri si ibu

Jelas Mercy, dia berasa curiga apabila melihat ciri si bayi yang berbeza dengan bayi yang ditunjukkan doktor pada awalnya selepas menjalani pembedahan.

“Dia (anak kandung) diberikan kepada saya dan saya cium dia, kemudian dia dibawa ke nurseri. Itu kali terakhir saya lihat dia,” katanya.

Keesokan harinya, jururawat datang membawa seorang bayi lain mendakwa sebagai anak wanita itu walaupun diragui Mercy sendiri.

Tambah BBC, Mercy sempat terfikir bahawa kulit bayi yang kedua sedikit gelap berbanding bayi yang pertama dilihatnya (anak kandung).

Selepas pulang ke rumah mereka di Texas, wanita itu telah memutuskan untuk menjalani ujian DNA bagi menentukan status bayi berkenaan.

Sebelum buat ujian tersebut, persoalan itu sering bermain di dalam fikirannya adakah bayi yang diberikan kasih sayang itu merupakan anaknya. Naluri seorang ibu itu bagaikan telah menguasai diri Mercy. Ia telah menguatkan lagi alasan Mercy untuk membuat ujian DNA.

Keputusan ujian DNA mendedahkan bayi yang dijaga sembilan bulan tersebut bukanlah anak mereka.

“Saya terfikir, bayi yang saya jaga, sayang dan mandikan bukan anak saya. Dan kemudian saya terfikir, di mana bayi saya?” Kata Mercy, menceritakan naluri keibuannya semasa menjaga bayi tersebut.

“Saya tertanya-tanya, apa yang akan terjadi kepada bayi ini dan di mana anak saya.”

Menceritakan bagaimana perkara itu berlaku, Mercy berkata, dia telah diberikan bayi yang salah ketika dibenarkan pulang dari hospital.

Mercy telah melahirkan seorang bayi lelaki pada Mei 2015 sebelum bayi itu diletakkan di bahagian penjagaan kanak-kanak di hospital.

Bagaimanapun keesokan harinya, dia diberikan bayi lain untuk dibawa pulang ke rumah.

Sehingga kini, mereka masih tidak tahu bagaimana pertukaran itu boleh terjadi.

Bagaimanapun, dakwaan ke atas pihak doktor yang menyambut bayi berkenaan telah digugurkan.

Sedih melepaskan

Biarpun sedih terpaksa melepaskan ‘anak’ yang dijaga sembilan bulan, pasangan itu gembira selepas berjaya disatukan semula dengan anak kandung mereka.

“Kami terburu-buru dan tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Saya dapatkan semua pakaiannya dan serahkan semula dia (kepada keluarga). Itu adalah bahagian paling sukar,” kata Mercy.

“Saya dah terima dia sebagai anak saya. Sekarang, bila saya lihat balik gambar semasa usianya tiga bulan, saya terkejut kerana saya tak pernah syak apa-apa sedangkan jelas dia bukan anak saya jika dilihat pada gambarnya,” kata Cushworth.

Tambah si isteri, Mercy, dia mengaku berasa serba salah ketika melakukan ujian DNA berkenaan.

“Saya fikir kami telah jatuh cinta dengan bayi itu. Bahkan, semasa saya buat ujian DNA, saya rasa seperti sedang mengkhianati dirinya. Itulah apa yang saya rasa, seperti mengkhianati anak sendiri, tapi saya tak boleh terus hidup begini,” kata Mercy.

Sumber: BBC

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.