JEMPOL, 15 Jun (Bernama) — Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengambil inisiatif mewujudkan pasukan vaksin bergerak rumah ke rumah bagi memudahkan warga emas yang uzur, golongan terlantar dan pesakit mendapat suntikan vaksin COVID-19.
Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Jempol Dr Ismul Adham Zaini berkata langkah itu juga dapat mengatasi masalah ketidakhadiran golongan terbabit ke PPV ekoran kekangan yang dialami mereka.
“Kita sasarkan 20 hingga 30 individu disuntik sehari melibatkan 10 buah kampung, mereka ini semua tidak mampu nak ke PPV. Mereka terdiri daripada dua kategori iaitu telah mendaftar tetapi menunggu tarikh dan kedua tidak mendaftar langsung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata selain unit bergerak itu, pihaknya turut membuka PPV sementara di balai raya Kampung Lonek di sini bagi memudahkan penduduk di sekitar kawasan itu mendapatkan suntikan vaksin.
Menerusi kaedah berkenaan katanya, lebih ramai dapat divaksin dalam satu-satu masa di samping menjimatkan masa.
Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata inisiatif pasukan vaksin bergerak berkenaan memudahkan orang ramai apabila tidak perlu bersusah payah ke PPV sekali gus mengurangkan risiko penularan COVID-19.
“Kita juga faham keadaan tidak mengizinkan mereka ke PPV selain tiada kemudahan telefon pintar untuk mendaftar MySejahtera, jadi melalui program ini, mereka tidak akan tertinggal dalam proses vaksinasi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata pihaknya menyasarkan 80 peratus daripada penduduk di daerah itu mendapat vaksin menjelang penghujung tahun ini.
Sementara itu, seorang warga emas, Samsiah Yusof, 73, menghargai usaha berkenaan kerana beliau dan suami yang berusia 90 tahun kini sukar bergerak ekoran faktor usia.
“Alhamdulillah, bila doktor datang ke rumah, dapatlah mak cik divaksin tak perlu bersusah payah ke sana (PPV). Mak cik faham kepentingan vaksin tetapi nak pergi dapatkannya itu yang menjadi masalah,” katanya selepas menerima suntikan vaksin jenis Sinovac di rumahnya di Kampung Bukit Kerdas di sini.
Seorang lagi warga emas, Siti Jenah Talib, 80, dari Kampung Lonek yang berkerusi roda, gembira kerana telah menerima vaksin dan mengakui berasa sedikit gementar pada awalnya.
“Mula-mula memang rasa sedikit gementar sebab dengar orang cakap sakit, tetapi mak cik tak rasa apa pun, terima kasih datang ke rumah mak cik untuk beri vaksin, “ katanya.
Sumber: BERNAMA