Siakap Keli

Siap Ada ‘Pejabat’ Sendiri, Kenali Tama, Kisah Kucing Pengawal Stesen Kereta Api Yang Selamatkan Syarikat Ini Dari Bankrap

Walaupun sering terkenal dengan gelagat comel dan nakal, kucing juga sebenarnya mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Sesetengah dari haiwan itu bahkan dianggap sebagai ‘hero’ dalam kalangan manusia.

Sama seperti seekor kucing ini yang dianggap sebagai penyelamat stesen kereta api di Jepun.

Kucing yang dinamakan Yontama atau lebih mesra dipanggil Tama itu bagaikan menjadi ‘cahaya’ yang menyinari belenggu ‘kemuramam’ di stesen kereta api Kishigawa di wilayah Wakayama.

Gambar Via Wall Street Journal

Menyingkap kembali kisah Tama di stesen itu, ia dikatakan telah menetap di sana sejak kecil lagi iaitu pada akhir 1990-an.

Menurut BBC, ‘sifat manis’ dan ciri-ciri fotogenik yang ada pada Tama membuatkannya menjadi popular dalam kalangan penumpang dan pastinya sangat disayangi sehingga ia digelar sebagai ‘tuan stesen’ Kishi.

Hadapi masalah kewangan dan penumpang berkurang

Pun begitu, masalah mula melanda di stesen Kishigawa pada pertengahan tahun 2000 apabila jumlah penumpang terus berkurang dan mengalami masalah kewangan. Masalah tersebut ‘mengancam’ penutupan landasan kereta api itu dan ia benar-benar berlaku pada tahun 2006.

Walau bagaimanapun, stesen tersebut beroperasi semula disebabkan oleh desakan penduduk di situ terhadap presiden Wakayama Electric Railway, Mitsunobu Kojima.

Gambar Via Kansai Odyssey

Tama yang sebelum ini dijaga oleh seorang pemilik sebuah kedai  serbaneka telah diberikan kepada Kojima kerana pemilik itu akan berpindah.

‘Jatuh cinta’ pada kucing itu, Kojima membelikan satu topi pengawal kecil untuk Tama dan sejak itu ia secara rasminya menjadi ‘Stationmaster of Kishi Station’, pengawal stesen kereta api kucing pertama di Jepun.

Sebagai pengawal stesen itu, salah satu tugas Tama adalah dengan menjadi ‘duta’ kereta api itu dan tampil dalam pelbagai promosi dan liputan media.

Ada ‘pejabat’ khas

Gambar Via BBC

Yang pasti, tugas ‘hakikinya’ adalah dengan berjalan-jalan di stesen itu dan ‘beramah mesra’ dengan semua penumpang. Kucing itu juga mempunyai ‘pejabat’ khas yang membolehkannya ‘memantau’ setiap gerak geri manusia dari tingkap kaca.

Tama sangat disenangi dan dipuja oleh setiap penumpang di situ sehingga wujudnya lakaran potret untuk kucing comel itu. Mengenai ‘gajinya’, Tama mendapat makanan yang menyelerakan.

Kucing itu juga pernah dinaikkan pangkat sebagai ‘super station manager’ dalam satu acara pada tahun 2008. Sejak itu, ramai pelancong yang datang ke stesen tersebut untuk melihatnya.

Gambar Via The Guardian

Jana ekonomi tempatan

Pada tahun yang sama, sebuah kajian oleh profesor di Kansai University’s School of Accountancy, Katsuhiro Miyamoto, mendedahkan bahawa kehadiran Tama di stesen tersebut dianggarkan telah menarik seramai 55,000 orang penumpang di stesen tersebut.

Selama ‘pemerintahannya’ sebagai ketua stesen dari tahun 2007 hingga 2015, Tama juga telah menyumbang sebanyak 1.1 juta yen kepada ekonomi tempatan.

Sebagai menghargai jasa Tama, sebuah kereta api yang bertemakan kucing itu juga telah dicipta pada tahun 2010.

Namun sayangnya, hayat Tama berakhir pada tahun 2015 iaitu ketika ia berusia 16 tahun. Dikatakan meninggal dunia kerana sakit tua, ribuan orang telah menghadiri pengebumiannya di stesen tersebut.

Sehingga ke hari ini, Tama si pengawal stesen kereta api ini masih lagi diingati di negara Jepun dan bahkan dianggap sebagai ‘dewi’ Kereta Api Elektrik Wakayama.

@nanakims2021

Eksekutif kucing pertama di dunia 🐈 anda rasaaa? #masukfyp #tiktokmalaysia🇲🇾 #fypシ

♬ bunyi asal – jimin’s jam – alpaca

Sumber: Nanakims2021, BBC

Sofea

There's always another side to every story