Pasangan ahli meteorologi dari Kansas yang mengkaji ribut berada dalam keadaan yang penuh kegembiraan setelah bertunang di hadapan puting beliung, lapor Daily Mail.
Menurut sumber, pertemuan pertama Tom Bedard, 29 tahun, dan Raya Maday, 26 tahun bermula pada tahun 2016. Ketika itu mereka berada di persidangan meteorologi dan jadi cepat akrab disebabkan minat terhadap cuaca.
Setahun berikutnya, mereka ditugaskan di tempat yang sama di AccuWeather. Raya bekerja sebagai pemberi amaran cuaca pada pelanggan seperti kereta api dan pengeluar kenderaan. Tom pula ditugaskan di pengurusan kecemasan.
Pada hujung minggu Memorial Day baru-baru ini, mereka telah memandu selama 6 jam ke Colorado dengan harapan dapat melihat putaran angin itu secara langsung. Nasib mereka baik apabila rancangan untuk melihat cuaca ekstrem itu tidak terhalang.
Sebaik sahaja puting beliung kelihatan di hadapan mereka, Tom berlutut di hadapan Raya untuk meminangnya. Tom tahu bahawa dia sudah setahun ingin bertanya soalan itu, tetapi masih mencari cara yang tepat untuk melakukannya. Akhirnya idea itu muncul dengan cara melihat puting beliung.
Jelas Tom, “Kami sama-sama meminati cuaca, tetapi tidak pernah melihat puting beliung sebelumnya. Ternyata pada waktu yang sama, Raya juga sedang teringin untuk melihat ribut.”
Dia menambah, “Ini cukup aneh, idea yang kami berdua ada ini tidak diketahui antara satu sama lain. Saya merancangnya dengan rakan karib saya dan rakan meteorologi iaitu Rich Putnam. Namun, pada masa yang sama, Raya juga ada menyebutnya ketika bersama isteri Rich, Steph. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa itu adalah idea yang baik dan kami harus merancang.”
Walau bagaimanapun, cuaca tidak selalu memberi kerjasama, dan menemui puting beliung itu sukar – terutama ketika pasangan itu begitu sibuk. Tom bekerja sebagai sukarelawan pasukan bomba dan mereka berdua menjadi sukarelawan di tempat perlindungan haiwan.
Akhirnya, mereka mempunyai cuti pada hari Sabtu dan ada sedikit peluang untuk dapat melihat puting beliung di Colorado. Dipercayai, ketika itu Tom memujuk Raya untuk ke sana. Katanya, kemungkinan untuk tidak dapat melihat puting beliung itu adalah tinggi, jadi mereka sudah bersedia untuk hujung minggu berikutnya.
Dilaporkan, mereka bernasib baik apabila puting beliung muncul dan dapat melihatnya dari jauh. Ketika itu, Tom menjelaskan bahawa fikirannya berantakan dengan adrenalin yang kuat. Dia berharap agar dapat mengingati ucapan yang telah dilatih dan berjaya sampaikannya dengan sempurna.
Sementara itu, Raya pula teruja melihat keindahan struktur ribut itu apabila putarannya menjejak tanah. Namun, sebaik sahaja berpaling ke kanannya, didapati Tom pula sedang melutut untuk melamarnya.
Jelasnya, perasaan melihat putih beliung yang pertama dengan dilamar ketika itu tiada tandingannya. Raya menambah, “Saya benar-benar tidak ada perkataan yang lebih baik untuk ini, tetapi itu benar-benar tidak nyata. Saya tidak menjangkakannya. Saya tahu akhirnya perkara ini akan berlaku, tetapi saya fikir ia akan berlaku pada bulan Julai.”
Menurut portal, walaupun kedua-duanya belum mula merancang perkahwinan mereka, namun mereka ingin mencari tempat untuk saling merehatkan diri dan berhibur bersama-sama.
Mereka juga sempat bergurau dengan mengatakan kemungkinan perkahwinan akan berlangsung semasa musim puting beliung di Tornado Alley. Ini kerana mereka dapat memperoleh beberapa ‘gambar yang sangat mengagumkan.’
“Saya akan turun padang untuk melihat kehadiran puting beliung, walaupun mungkin terjadi pada hari perkahwinan kami,” kata Raya.
View this post on Instagram
Sumber: DailyMail