Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sebentar tadi secara rasminya mengumumkan penarikan semula sokongan parti tersebut terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta-merta.
Ini berikutan kerana terdapat banyak kegagalan serta kelompongan yang dikatakan beliau berlaku dalam pemerintahan negara di bawah kerajaan pimpinan Muhyiddin ketika ini.
BACA: UMNO Sah Tarik Semula Sokongan Terhadap PM Berkuatkasa Serta-Merta
Menerusi satu sidang media sebentar tadi, Zahid telah menyenaraikan tujuh (7) kegagalan kerajaan yang menjadi punca mengapa UMNO menarik semula sokongan seperti berikut:-
1. Kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat. Hal ini termasuklah polisi-polisi yang tidak konsisten, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa masak dan berubah-ubah sehingga rakyat dikurung dengan sia-sia.
2. Kegagalan kerajaan dalam menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara UMNO yang sejak dari awal membantah keras proklamasi tersebut.
3. Kegagalan kerajaan untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak serta suara rakyat terbela.
4. Kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori. Hal ini termasuklah tuntutan Moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah tertentu.
5. Kegagalan kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri.
6. Kegagalan kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik.
7. Kegagalan kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-ulang kali mengeluarkan kenyataan media dan titah menghadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang.
Justeru itu, di atas semua kegagalan ini, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
Pada masa yang sama, parti itu turut menegaskan pendirian mereka untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH.
Sumber: Facebook UMNO Online