Satu video yang memaparkan seorang lelaki menjatuhkan talak kepada isterinya selepas ijab kabul dilafazkan telah menjadi tular di media sosial.
Difahamkan bahawa perkara tersebut berlaku di Kabupaten Empang, Kabupaten Sumbawa, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada Ahad.
Khabar terbaru mengenai pasangan tersebut menyatakan bahawa kedua-dua mereka akhirnya bersetuju untuk berdamai dan meneruskan perkahwinan mereka.
Pengantin lelaki yang berusia 25 tahun itu dilaporkan telah meminta maaf atas tindakannya.
Pengantin perempuan yang berusia 23 tahun bersama keluarganya juga telah dilaporkan menerima permohonan maaf itu.
“Alhamdulillah, pengakhiran yang gembira untuk kita semua dan memang itu yang kita harapkan,” kata Ketua Pejabat Urusan Agama (KUA) daerah Empang Abdul Wahid.
Perkahwinan mereka berdua itu telah berlangsung pada Ahad yang lalu di Desa Gapit, daerah Empang.
Majlis perkahwinan tersebut telah menjadi tular di media sosial kerana tindakan pengantin lelaki berkenaan.
Setelah lafaz ijab kabul selesai, dia secara tiba-tiba berdiri di hadapan penghulu, ibu bapa wanita berkenaan, dan tetamu undangan.
Tanpa disangka, dalam bahasa Bima, dia telah melafazkan talak setelah baru sahaja beberapa saat wanita itu sah menjadi isterinya.
Perkara itu dengan segera membuatkan ibu bapa dan keluarga pengantin perempuan marah dan menyerangnya.
Kekecohan pun mula tercetus susulan daripada itu.
Majlis perkahwinan yang diatur oleh keluarga wanita tersebut menjadi huru-hara.
Untuk mengelakkan kemarahan ramai, pengantin lelaki itu kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Empang.
Abdul Wahid mengakui bahawa dia sangat terkejut dengan kejadian itu.
Mereka tidak menjangka perkara sebegitu akan terjadi.
Ianya kerana sejak dari awal lagi, proses perkahwinan itu berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah.
Sebelum upacara perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan juga diminta untuk menyatakan bahawa mereka sudah bersedia tanpa ada sebarang paksaan.
“Di luar jangkaan kami, secara spontannya sebelum menandatangan borang, dia terus meminta izin untuk menceraikan isterinya,” katanya.
Pegawai KUA yang hadir pada hari itu juga sangat terkejut dan menjaga semua dokumen perkahwinan.
Namun dia sangat bersyukur kerana perkara itu akhirnya diselesaikan secara baik.
Pihak keluarga dan kedua pasangan itu sepakat untuk menyambung perkahwinan mereka.
Mereka dilaporkan telah merujuk dan menyambung perkahwinan mereka secara sah di sisi agama dan undang-undang negara.
Walaupun pengantin lelaki ditahan di balai polis Empang, kedua keluarga tersebut berjaya bersetuju menyelesaikan perkara itu melalui perbincangan supaya perkahwinan pasangan pengantin itu dapat diteruskan.
Sumber: Tribun Solo