KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Datuk Mansor Musa, yang sebelum ini berdepan dengan 106 pertuduhan pengubahan wang haram di Pulau Pinang, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pula atas 58 pertuduhan sama membabitkan wang berjumlah RM9.22 juta.
Mansor, 58, yang juga pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-42, Mansor didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk pembelian saham, rumah dan pembayaran kepada kontraktor melalui syarikat yang berbeza.
Sementara itu, bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58, dia didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang dari sebuah syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Jumlah wang yang terlibat ialah RM9.22 juta dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Starpac Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini, antara Disember 2008 hingga Mei 2015.
Mansor menghadapi 42 pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebanyak 16 tuduhan lagi dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Faridz Gohim Abdullah menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan adalah serius serta melibatkan jumlah wang yang besar.
Bagaimanapun, peguam Datuk Selva Mookiah, yang mewakili Mansor memohon jaminan RM200,000 atas alasan jaminan ditawarkan hanya untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan bukan untuk menghukum.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
Isnin lepas, Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 106 pertuduhan berkaitan rasuah bernilai lebih RM11 juta melibatkan kesalahan yang sama.
Sumber: BERNAMA