Setiap tahun, kita akan ‘disajikan’ dengan puluhan filem dari dalam dan luar negara. Dari genre seram hingga ke percintaan, kebanyakannya memaparkan kisah realiti kehidupan di dunia ini.
Disebalik itu, ada sesetengah filem yang diharamkan sama sekali untuk ditayangkan di seluruh dunia kerana dilihat menyentuh sensitiviti sesuatu isu atau boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada masyarakat.
Salah satu darinya adalah filem yang bertajuk Anunnaki, ia dipercayai tidak dibenarkan ditayang di seluruh dunia. Mengangkat dari kisah kontroversi Sumeria Kuno, filem itu bukan sahaja belum ditayangkan tetapi juga belum disiapkan sehingga kini.

Semua gambar, video dan iklan berkaitan filem tersebut juga telah dilarang disebarkan di media-media.
Perkara tersebut telah menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang ramai kerana filem itu dilihat tidak mempunyai sebarang bentuk kekerasan atau pornografi.
Pengarah menghadapi kekurangan dana
Dalam pada itu, filem ini diarahkan oleh Jon Gress yang mempunyai beberapa filem sepanjang kariernya. Dalam satu temubual, dia secara terbuka bercakap mengenai filem itu dan mengaku bahawa dia merupakan peminat cerita Zecharia Sitchin yang menterjemahkan teks Sumeria.
Anunnaki juga sebenarnya merupakan filem indie yang tidak mempunyai syarikat produksi dan disebabkan itu mereka mengalami kekurangan dana.
Namun, ada dakwaan yang mengatakan bahawa kemungkinan besar filem itu dilarang kerana mengalami masalah berkaitan penapisan filem.
Mengisahkan mengenai bangsa Sumeria
Manakan tidak, jalan cerita filem itu didakwa mengisahkan mengenai bangsa Sumeria yang kononnya pernah berhubung dengan makhluk asing. Berkat pertemuan itu, bangsa Sumeria digambarkan menjadi tamadun yang paling maju di dunia.
Jon Gress percaya bahawa kerana hubungan tersebut, kaum Sumeria memiliki teknologi yang canggih dan mempunyai pengetahuan yang sangat meluas dalam bidang pertanian dan astronomi.

Ada juga sumber yang kononnya mengatakan bahawa filem ini mempunyai kisah rahsia yang sebenarnya tidak boleh diketahui oleh masyarakat umum.
Dakwaan tersebut ‘dicantas’ oleh para saintis dan mereka menafikan bahawa kaum Sumeria mempunyai hubungan dengan makhluk asing. Mereka juga menganggap filem ini boleh merosakkan kepercayaan seseorang dan mendorong mereka untuk mencipta agama baru.
Ia juga boleh menyebarkan propaganda negatif ke seluruh dunia dan menimbulkan rasa panik dalam kalangan orang ramai.
Jika filem ini menjadi kenyataan, kontroversi filem ini diramal akan mengatasi kontroversi yang melanda filem berjudul 2012.
Sumber: Era.id, News intact