Siakap Keli
Gambar Via Tirto Id

Bantu Jutaan Umat Islam Mudah Belajar Al-Quran, Kenali K.H. As’ad Humam, Pencipta Iqra Yang Wajahnya Di Belakang Buku Iqra Kita Guna Dulu-dulu

Sebelum pandai membaca Al-quran, kebanyakan orang biasanya mula belajar mengaji dengan menggunakan buku Iqra. Ia merupakan sebagai pembelajaran awal untuk mengenal sebutan ayat di dalam Al-quran.

Bagi yang lahir pada tahun 90-an dan menggunakan buku Iqra, korang mesti ingat kan mengenai sosok wajah seorang lelaki yang terdapat dekat belakang buku itu? Pasti ada yang tertanya-tanya mengenai lelaki itu sehingga ke hari ini.

Untuk pengetahuan korang, lelaki tersebut sebenarnya merupakan penulis buku Iqra itu yang dikenali sebagai K.H. As’ad Humam. Beliau menjadi orang yang bertanggungjawab menyusun setiap perkataan di dalam buku Iqra itu.

Mungkin ramai yang belum tahu, justeru, meh SK kongsikan serba sedikit mengenai kisahnya.

Hidap penyakit tulang belakang

Dilahirkan di Yogyakarta pada tahun 1933, nama sebenar beliau ialah As’ad sahaja dan Humam pula merupakan bapanya.

Ketika usianya 18 tahun, beliau dikatakan telah jatuh dari pokok jambu dan menyebabkan tulang belakangnya dan memberi kesan kepada tulang belakangnya.

Beliau dikatakan telah menghidap penyakit tulang belakang yang sangat serius dan mengalami kecacatan fizikal. Beliau terpaksa menjalani rawatan rawatan di hospital selama lebih kurang setahun setengah.

Disebabkan oleh penyakitnya itu juga, beliau tidak boleh bergerak dengan bebas kerana tubuhnya menjadi kejang dan sukar untuk membongkok. Keadaan itu menyebabkannya terpaksa menunaikan solat dalam keadaan duduk sahaja.

Insiden itu juga menyebabkannya tidak boleh menyambung persekolahan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Pun begitu, ia tidak melemahkan semangatnya kerana beliau gigih belajar serta mencari kaedah membaca Al-quran yang berkesan.

Mula belajar kaedah Qiroati

Dalam pada itu, beliau juga merupakan seorang pedagang aksesori di pasar Bringharjo, Malioboro, Yogyakarta. Dari situ, beliau berkenalan dengan KH. Dachlan Salim Zarkasyi dan mula belajar kaedah Qiroati.

Pada suatu hari beliau menemui kaedah baharu yang kemudiannya dibincangkan dengan KH Dachlan namun ideanya itu tidak diterima dengan baik. Tidak lama selepas itu, beliau juga menjemput rakan-rakannya di Masjid Generasi Muda untuk membentangkan mengenai ideanya itu dan usaha untuk memujuk KH Dachlan.

Berkat dari perbincangan itu, mereka akhirnya mencapai jalan penyelesaian dan dipersetujui oleh KH Dachlan.

Sebelum kaedah Iqra diperkenalkan, individu yang ingin belajar membaca Al-quran perlu mengeja satu persatu huruf hijaiyah lengkap dengan tanda baca untuk membentuk ayat. Ia menjadikan proses membaca memakan masa yang lama.

Berbeza dengan kaedah Iqra, ia terdiri daripada enam jilid dan menggunakan cara membaca dengan sistem perkataan (suku kata). Pada permulaan jilid, perkataan yang mudah digunakan seperti ‘ba-ta’, ‘ka-ta’, ‘ba-ja’ dan sebagainya.

Buku Iqra terus digunakan dengan meluas

Sehingga kini, berjuta-juta buku Iqra telah dihasilkan dan diedarkan secara meluas di beberapa negara lain seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, Eropah dan Amerika.

Pun begitu, ketika kaedah Iqra dan buku itu berkembang dengan meluas, kesihatan KH As,ad juga terus merosot. Beliau dilaporkan telah meninggal dunia pada 2 Februari 1996 pada usia 63 tahun.

Jasanya dalam menulis buku Iqra ini dihargai sehingga kini dan menjadi rujukan penting buat umat Islam untuk bertatih membaca Al-quran. Semoga Allahyarham dikurniakan pahala yang berterusan dan diberikan ganjaran syurga. Amin.

Sumber: Biem, Kanal Kenal Indonesia

Sofea

There's always another side to every story