Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terbengkalai Sejak 2017, Kuarters Kerajaan RM20 Juta Di Terengganu Kini Jadi Kampus Kolej Al-Quran

Kampus Kolej Al-Quran
Kredit: TRDI

Dahulu berdirinya kompleks kuarters kerajaan bernilai RM20 juta, kini dijadikan kampus cawangan Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dengan kos RM5.9 juta.

Menurut media rasmi negeri Terengganu (TRDI), kompleks di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir itu telah terbengkalai sejak 2017 dan akhirnya diberi nafas baharu melalui penubuhan cawangan kolej tersebut

Wajah baharu kuarters kerajaan, kini jadi Kampus Kolej Al-Quran

Difahamkan, kompleks tersebut pada asalnya dibina untuk kemudahan penginapan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bagaimanapun, ia tidak digunakan sepenuhnya berikutan projek Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir yang tidak mencapai perancangan asal.

“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), pembinaan kuarters berkenaan bermula pada Februari 2013 dengan perbelanjaan sebenar sebanyak RM19.8 juta daripada peruntukan RM20 juta.

“Keseluruhan projek pembangunan kompleks dan kuarters Kastam di Pengkalan Gawi pula melibatkan peruntukan sebanyak RM37.78 juta.

“Kompleks kuarters yang dibangunkan di kawasan seluas 25 ekar itu mempunyai 82 unit kediaman serta kemudahan dewan dan surau,” lapor TRDI.

Kredit: TRDI

Menurut TRDI, selepas sasaran asal bagi penggunaan kompleks terbabit tidak tercapai, kerajaan negeri mengambil keputusan pada Oktober 2020 untuk menyerahkan keseluruhan 82 unit kuarters berkenaan kepada KQT bagi tujuan pendidikan.

Tahun berganti tahun, kompleks tersebut bakal menjadi kampus cawangan KQT selepas melalui proses pengubahsuaian dan naik taraf.

Penubuhan itu sekali gus membantu menyelesaikan masalah kekurangan kemudahan pembelajaran dan penginapan pelajar di kampus sedia ada di Padang Midin.

Ketua Eksekutif KQT, Prof. Madya Dr Wan Mat Sulaiman berkata bahawa kemudahan kampus baharu itu amat penting bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat, khususnya dari segi kapasiti asrama.

“Di sana (Padang Midin), asrama untuk Kolej Quran Terengganu hanyalah ada 64 katil sahaja dan kita ada pelajar dalam 260 orang.

“Jadi mudah-mudahan kampus ini menjadi penyelesaian kepada kekangan yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Cadangan Pengubahsuaian Kuarters Kakitangan Kerajaan Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir sebagai Kampus KQT, di sini, semalam.

Kredit: TRDI

Projek pengubahsuaian yang bermula pada 14 November 2023 itu mengambil masa sehingga 11 November 2026 untuk disiapkan, dengan nilai keseluruhan kontrak berjumlah RM5.9 juta.

“Kerja-kerja berkenaan melibatkan pengubahsuaian dan naik taraf empat blok asrama, masing-masing dua untuk pelajar lelaki dan perempuan.

“Turut dinaik taraf ialah Blok Akademik dan Hal Ehwal Pelajar (A2), Blok Perpustakaan (A3), dua blok pentadbiran (D1 dan D2), Dewan Besar serta surau,” ujar laporan itu.

Kemudahan mekanikal dan elektrikal juga diberi perhatian melalui kerja-kerja naik taraf bagi memastikan keselamatan bangunan serta kelancaran operasi kampus.

Menerusi majlis itu, penyerahan projek berkenaan disempurnakan oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu, Ir. Mohd Khairie Hasan kepada Penolong Kanan Pengarah (Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi) Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), Mohd Firdaus Ibrahim.

Selain itu, majlis menandatangani dokumen penyerahan projek turut disaksikan Jurutera Awam Kanan (Bangunan) JKR Negeri Terengganu, Nur Fahmi Md Saad dan Pengarah Urusan Tasland Corporation Sdn Bhd, Zakaria Ariffin yang mewakili kontraktor projek.

Sumber:TRDI
Intipati
  • Kompleks kuarters kerajaan RM20 juta di Pengkalan Gawi kini menjadi kampus cawangan KQT.
  • Pengubahsuaian bernilai RM5.9 juta meliputi asrama, blok akademik, perpustakaan, pentadbiran, dewan dan surau.
  • Kampus baharu dijangka membantu kekurangan ruang pembelajaran dan penginapan di kampus utama Padang Midin.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan