Sejak 12 Julai lalu, orang ramai sudahpun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra melalui akaun KWSP mereka secara atas talian sehingga 30 September akan datang. Menurut kemaskini portal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 11 Julai, pembayaran i-Citra akan dibuat bermula Ogos bagi permohonan yang dilakukan pada bulan ini.
Bagaimanapun, tiga situasi di bawah akan menghentikan pembayaran bulanan tersebut iaitu:
- Jika ahli yang memohon mencapai umur 55 tahun
- Terdapat apa-apa pengeluaran penuh yang diluluskan, misalnya melibatkan pengeluaran Hilang Upaya, Meninggalkan Negara, Kematian dan sebagainya.
- Ahli membuat pembatalan i-Citra.
Adalah diingatkan, permohonan semula adalah tidak dibenarkan bagi mereka yang membuat pembatalan i-Citra.
Untuk makluman, pembayaran i-Citra akan dilakukan secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank ahli secara berperingkat. Justeru, pemohon perlu memastikan tiga syarat berikut dipenuhi bagi memastikan pembayaran berjalan lancar.
- Akaun bank simpanan atau semasa.
- Akaun bank masih aktif.
- Akaun bank atas nama ahli sendiir (bukan akaun bersama atau syarikat).
Jelas KWSP, jika ahli berstatus muflis dan tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh memohon pembayaran i-Citra secara Arahan Bayaran ketika membuat permohonan di laman web tersebut.
Akan tetapi, pembayaran melalui kaedah ini akan mengambil masa dan ahli perlu hadir ke cawangan pilihan bagi urusan pengambilan Arahan Bayaran tersebut.
Bagi ahli berumur 55 tahun ke atas yang mempunyai caruman dalam Akaun Emas pula, pengeluaran daripada akaun ini adalah tidak boleh digunakan bagi tujuan i-Citra.
Jelas KWSP, simpanan tambahan ini layak dikeluarkan selepas pemegang berusia 60 tahun bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli pada waktu tersebut.
Sumber: KWSP
BACA: Cadangan KPM Murid Kelas Peperiksaan Diberi Vaksin Pfizer Dipersetujui