Siakap Keli
perpustakaan tuanku bainun
Kredit: Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI via Bernama/Bernama

Perpustakaan Tuanku Bainun Hampir Cecah Usia Seabad

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang bakal mencecah usia satu abad tahun depan, terus menjadi rujukan cendekiawan, penulis, pejuang bahasa dan tokoh ternama negara sehingga kini.

Dengan lebih tiga juta koleksi termasuk koleksi e-jurnal dan e-buku yang dapat diakses untuk kemudahan penyelidik dan pengguna, PTB menjadi satu-satunya jabatan di UPSI yang diwarisi dari era pentadbiran Sultan Idris Training College (SITC) iaitu sejak 1922.

Dalam satu kenyataan, UPSI yang memetik Pustakawan Kanan PTB Dr Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan menyatakan PTB mula beroperasi di sebuah bilik di tingkat atas bangunan pentadbiran dikenali sebagai Bangunan Suluh Budiman (BSB) (kini Muzium Pendidikan Nasional) pada 1922.

“Selepas kemerdekaan negara pada 1957, nama SITC kemudiannya ditukar kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan seiring itu, perpustakaan ini turut berkembang dengan pembinaan bangunan perpustakaan baharu di belakang BSB dan dinamakan sebagai Khutub Khanah MPSI,” katanya.

Jelasnya, apabila era MPSI berakhir pada 21 Feb 1987 berikutan tarafnya sebagai sebuah maktab ditingkatkan menjadi sebuah institut iaitu Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), perpustakaan ini juga dijenamakan semula sebagai Perpustakaan IPSI namun sewaktu sambutan ulang tahun ke-73 SITC-IPSI, namanya ditukarkan kepada Perpustakaan Za’ba.

Kredit: Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI via Bernama

Selepas penubuhan UPSI pada 1 Mei 1997, operasi Perpustakaan Za’ba IPSI diambil alih sepenuhnya oleh UPSI pada 1 Jan 1998 dan sebagai langkah proaktif, UPSI membelanjakan lebih RM20 juta bagi mempelbagaikan dan melengkapkan koleksi bahan-bahan bacaan serta rujukan di perpustakaan itu.

Raja Ahmad Shalaby berkata pada 1999 UPSI meluluskan pembinaan sebuah bangunan baharu perpustakaan dengan keluasan lantai 13,063 meter persegi yang turut dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan dirangkaikan dengan UPSINet iaitu Perolehan Sistem ILMU (Integrated Library Management Utility) bertaraf dunia yang lengkap.

“Perpustakaan baharu ini dimasyhurkan pada 8 Ogos 2007 dengan nama baharu, Perpustakaan Tuanku Bainun oleh Canselor pertama UPSI, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun,” katanya.

Seiring waktu, PTB kini mempunyai 70 kakitangan untuk optimumkan perkhidmatan di dua buah bangunan iaitu bangunan induk di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim dan UPSI Digital Library di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Perak.

PTB turut menempatkan pelbagai jenis koleksi seperti Koleksi Anak Kandung, Koleksi Pendidikan Malaysia, Koleksi Tokoh, Koleksi Arkib Universiti dan Koleksi Sumber Media.

UPSI Digital Library pula menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung seperti Recreation Commons, Digital Learning Space, Reading Lounge, Tablet Reading Area, Kiosk Maklumat, Digital Library Hub, Bilik Perbincangan dan Perkhidmatan rujukan Kindle e-books.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.