Tragedi kapal tenggelam atau karam di lautan sering dilaporkan berlaku di seluruh dunia. Tidak kira apa jua jenis kapal sekalipun yang terlibat, ia merupakan satu kejadian terburuk yang tidak mahu dihadapi oleh semua orang.
Manakan tidak, ramai yang telah terkorban dan ada yang bersemadi selamanya di dalam samudera yang luas itu.
Siapa kita sebagai manusia untuk menolak ketentuan takdir, mungkin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik kesemua tragedi pilu yang pernah berlaku itu.
Dengan keadaan laut yang sentiasa bergelora, amat jarang sekali untuk kita mendengar mengenai individu yang terselamat dalam tragedi kapal tenggelam tersebut.
Berjaya diselamatkan lepas 3 hari
Pun begitu, pernah berlaku satu ‘keajaiban’ kepada seorang lelaki, Harrison Okene, yang berjaya ditemui oleh penyelamat selepas tiga hari kapal yang dinaikinya tenggelam.
Jika ada di antara korang yang masih ingat, tragedi yang dialami oleh Harrison itu berlaku pada 26 Mei 2013 yang menyaksikan kapal tunda Jascon-4 terbalik dan tenggelam kira-kira 30 kilometer dari pantai Nigeria di Teluk Guinea. Harrison merupakan seorang tukang masak yang berkerja di atas kapal itu.

Difahamkan, kapal tunda itu terbalik kerana ombak yang kuat dan cuaca yang sangat buruk. Dari 12 orang yang berada di dalam kapal itu, penyelamat hanya menemui 10 mayat pada ketika itu, manakala seorang lagi tidak ditemui.
Harrison mengatakan bahawa dia berada di tandas ketika menyedari bahawa kapal itu mula terbalik dan tenggelam. Dalam keadaan yang panik, dia berjaya menemui jalan menuju ke kawasan yang dekat dengan ‘poket’ udara iaitu ruang untuknya bernafas.
Berada dalam keadaan gelap dan sejuk
Selama dua hari, dia yang hanya berseluar dalam berada dalam keadaan yang gelap dan sejuk. Ia merupakan saat-saat yang sangat genting kerana air mungkin akan memenuhi ruang tersebut, tetapi mujurlah ia tidak berlaku.
“Keadaan di sekeliling saya sangat gelap dan bising, saya menangis dan berdoa bersungguh-sungguh agar saya diselamatkan. Saya sangat lapar dan dahaga,” katanya.
Namun, dia bernasib baik kerana setelah 60 jam berada di situ, pasukan penyelam dari Afrika Selatan datang dengan tujuan untuk memeriksa kapal tunda tersebut dan mencari mayat-mayat. Mereka dikatakan terkejut melihat Harrison yang berada di situ.

Sebelum itu, Harrison telah menghulurkan tangannya dengan lembut untuk menyentuh lengan penyelam agar tidak menakutkannya. Dia kemudian menarik lengan penyelam tersebut dan melambai.
Cabaran membawanya naik ke permukaan
Walau bagaimanapun, terdapat cabaran untuk membawa Harrison naik ke permukaan dengan selamat. Setelah sekian lama berada di dalam laut yang masin itu, Harrison telah menyerap sejumlah nitrogen yang berpotensi membawa maut.
Justeru, pasukan penyelam itu perlu mahir menyesuaikan tahap gas di badan Harrison dan membawanya naik dengan perlahan-lahan.
Mujurlah, dia berada dalam keadaan baik sahaja walaupun kulitnya telah menggelupas kerana terlalu lama berada di dalam air.

Harrison mengatakan bahawa dia menyangkakan bahawa semua 11 kru yang lain berjaya sampai ke permukaan dengan selamat ketika kapal itu tenggelam dan hanya tinggal dia seorang sahaja di dalam laut itu. Pun begitu, dia sedih apabila mengetahui bahawa dia satu-satunya yang terselamat.
Detik-detik penyelamatan Harrison itu telah dirakam oleh penyelam dan menjadi bualan netizen di media sosial sehingga kini.
Sumber: Gcaptain, BBC, Explorersweb