Siakap Keli

Dipercayai Sebagai Persediaan Berdepan Bencana Ekonomi, Ini 5 Negara Dengan Simpanan Emas Terbanyak Di Dunia

Emas adalah perhiasan dunia. Emas walau dalam apa jua bentuk sememangnya kekal mempunyai nilai yang tinggi. Apatah lagi jika ditempa menjadi perhiasan, pasti ramai yang tergila-gila untuk memilikinya.

Selain emas perhiasan yang dimiliki oleh individu, ada juga emas dalam bentuk jongkong yang dimiliki oleh negara dan biasanya disimpan di bank pusat masing-masing.

Jadi, persoalan yang timbul, negara manakah yang memiliki simpanan emas terbanyak di dunia?

Sebelum kita menelusuri negara-negara dengan simpanan emas terbanyak, elok kita ketahui dahulu kenapa negara-negara ini menyimpan emas dalam jumlah yang banyak.

Emas adalah matawang yang diterima di seluruh dunia

Menurut The Balance, emas adalah matawang yang diterima di seluruh dunia tanpa memerlukan jaminan pihak ketiga. Sebagai perbandingan, mata wang Dollar perlu mempunyai jaminan daripada Kerajaan Amerika Syarikat untuk memastikan ia mempunyai nilai, berbeza dengan emas yang secara teorinya sentiasa bernilai tidak kira dimana ia berada.

Selain itu, bank-bank pusat ini juga dikatakan menyimpan emas sebagai polisi insuran untuk berdepan dengan hiperinflasi atau mana-mana bencana ekonomi yang mungkin melanda dunia dimasa akan datang.

Sebagai contoh, jika nilai mata wang Dollar menunjukkan penurunan, kerajaan Amerika Syarikat boleh menjual simpanan emasnya dan membeli mata wang Dollar bagi menyokong nilai mata wang tersebut.

Amerika Syarikat mendahului senarai sebagai penyimpan emas terbesar di dunia juga kerana untuk menyokong nilai mata wang Dollar memandangkan Dollar adalah mata wang utama dunia ketika ini.

Lima negara dengan simpanan emas terbesar di dunia

5) Rusia

Rusia berjaya mengatasi China untuk menghuni kedudukan negara kelima dengan simpanan emas terbesar di dunia iaitu dengan jumlah 2,228.2 tan.

Selain itu, Rusia juga memegang status sebagai negara pengeluar emas ketiga terbesar di dunia. Jumlah simpanan emas Rusia meningkat mendadak di era pemerintahan Vladimir Putin dan kini menghampiri jumlah simpanan emas Perancis yang berada ditangga keempat.

4) Perancis

Perancis sebelum ini menghuni tempat ketiga, namun kedudukan berkenaan jatuh selepas menjual 500 tan emas dimilikinya. Kini, berada di kedudukan keempat, Perancis memiliki simpanan emas sebanyak 2,436 tan

Pada 2004, Perancis mengambil keputusan untuk menjual 20 peratus simpanan emasnya atau 500 tan dan menggunakan wang berkenaan untuk melabur dalam matawang dan bon. Perancis kemudian menggunakan faedah daripada pelaburan tersebut untuk membayar hutang negara.

3) Itali

Dengan simpanan emas sebanyak 2,451.80 tan, jumlah simpanan emas Itali adalah antara yang paling stabil di dunia kerana jumlah berkenaan tidak berubah sejak 1999.

2) Jerman

Disimpan di tiga buah negara termasuk di New York, Amerika Syarikat dan London, United Kingdom, Jerman memiliki simpanan emas sebesar 3,367.9 tan.

Akibat situasi tidak menentu di Jerman ketika Perang Dingin, sebahagian emas-emas dimiliki negara tersebut terpaksa dipindahkan ke negara-negara sekutu seperti yang disebutkan di atas.

Pada 2013, Bank Pusat Jerman berhasrat untuk membawa pulang kira-kira 40 peratus emasnya yang berada di luar negara termasuk 300 tan di Amerika Syarikat menjelang 2020. Walaupun pada awalnya idea berkenaan mendapat tentangan Amerika Syarikat, Jerman berjaya mendapatkan kesemua emas-emas tersebut lebih awal iaitu pada 2016.

Selain itu, Jerman diiktiraf sebagai negara paling telus dan terbuka mengenai simpanan emas yang dimilikinya.

1) Amerika Syarikat

Jumlah simpanan emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat jauh mengatasi negara-negara lain. Ketika ini, negara Uncle Sam itu memiliki simpanan emas sebanyak 8,133.5 tan.

Bagaimanapun, jumlah berkenaan menimbulkan perdebatan kerana dokumen-dokumen asal yang merekodkan butiran simpanan emas dimiliki Amerika Syarikat didakwa telah hilang atau sengaja dimusnahkan.

Pada 1974, satu peraturan baru telah diwujudkan dan ia bertujuan untuk menyemak ketepatan emas yang dimiliki oleh negara itu, bagaimanapun wujud khabar angin kononnya simpanan emas tersebut telah diusik dan data simpanan diubah sebelum proses semakan sempat bermula.

Senario kedua adalah mengenai fakta Amerika Syarikat juga menjadi penyimpan emas kepada negara lain, seperti Jerman di atas. Selain itu, Amerika Syarikat juga lokasi pilihan untuk menyimpan emas bagi negara-negara yang sedang berdepan dengan konflik.

Oleh itu, ada pihak yang percaya jumlah emas dimiliki Amerika Syarikat sebenarnya termasuk emas-emas negara lain yang disimpan di negara tersebut.

Akhir sekali, ada pihak juga meragui ketulenan emas Amerika Syarikat memandangkan kebanyakan stok yang disimpan adalah dari zaman dahulu kala dan didakwa tidak berkualiti tinggi.

Pihak-pihak ini percaya, jika emas-emas berkenaan dilebur dan dijadikan bar 24 karat, jumlah simpanan emas yang dimiliki Amerika Syarikat mungkin turun secara mendadak.

Satu fakta menarik, kesemua emas-emas ini disimpan di lokasi dengan kawalan keselamatan adalah antara yang paling ketat di dunia. Salah satu lokasi simpanan emas terkenal adalah Fort Knox milik Amerika Syarikat.

Sumber: The Balance, Bullion By Post

Aqmal Ezany

I write what is right