Kerajaan Selangor membuat keputusan menghadkan bilangan jemaah solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid seramai 50 orang sahaja, manakala bagi surau yang diberi kebenaran solat Jumaat pula, hanya 40 jemaah sahaja yang dibenarkan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, had tersebut adalah termasuk jemaah dan pentadbir, selain sunat Hari Raya Aidiladha di surau kariah adalah tidak dibenarkan.
Jelas beliau, semua pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat hanya dibenarkan menjemput jemaah yang terdiri dalam kalangan ahli kariah sahaja dan telah menerima dua dos suntikan vaksin.
”Keutamaan adalah ahli kariah yang tinggal dalam kariah masjid/surau kebenaran solat jumaat tersebut sahaja dan ahli kariah yang telah menerima dua dos suntikan vaksin untuk hadir dan mendirikan solat sunat Aidiladha,” katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.
Katanya, penyelarasan waktu perlaksanaan solat adalah bermula dengan laungan takbir pada jam 7.30 pagi diikuti solat sunat Aidiladha yang didirikan pada jam 8.30 pagi dan khutbah khas sebelum bersurai pada jam 9 pagi.
Tambah Mohd Zawawi, memandangkan ketetapan jumlah yang terhad, umat Islam yang tidak dapat hadir ke masjid dan surau adalah dianjurkan untuk mendirikannya bersama ahli keluarga di kediaman masing-masing.
”Menziarahi tanah perkuburan Islam selepas menunaikan solat sunat Aidiladha adalah tidak dibenarkan, umat Islam adalah dianjurkan untuk membaca tahlil, zikir dan doa di kediaman masing-masing,” katanya.
Berikut di bawah adalah lampiran maklumat selanjutnya.





Sumber: FB Mohd Zawawi Ahmad Mughni