Mata wang merupakan wang yang digunakan sebagai media pertukaran barang dan perkhidmatan dalam ekonomi. Perkembangan konsep mata wang sebagai medium pertukaran itu mewujudkan ekonomi yang jauh lebih cekap.
Terdapat beberapa mata wang di dunia ini yang diterima untuk kebanyakan transaksi antarabangsa. Ia dipanggil sebagai mata wang global atau mata wang rizab yang digunakan untuk perdagangan di seluruh dunia.
Antara mata wang global yang paling popular adalah Dolar AS, Euro, dan Yen.
Menurut Dana Kewangan Antarabangsa, Dolar AS merangkumi lebih dari 60% daripada semua rizab pertukaran asing bank pusat yang diketahui pada suku keempat 2019.
Ia menjadi kekuatan kepada Dolar AS untuk muncul sebagai matawang global, biarpun gelaran tersebut tidak diberikan secara rasmi.
Jadi mata wang terpenting sejak Perang Dunia Kedua

Bagi yang tidak tahu, dolar AS menjadi mata wang yang terpenting di dunia sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua. Pemusatan dolar kepada ekonomi global memberikan beberapa faedah kepada Amerika Syarikat iaitu termasuk meminjam wang di luar negara dengan lebih mudah dan memperluaskan jangkauan kewangan negara itu.
Pada 2018, dolar telah beredar sebanyak $1,671 bilion dalam pasaran dan separuh dari nilai itu dianggarkan beredar di luar negara. Ia sekaligus menjadikannya sebagai mata wang yang terkuat di dunia.
Selain itu, dalam pasaran pertukaran mata wang, Dolar AS menjadi adalah raja. Dianggarkan, 90 peratus pasaran pertukaran matawang dikuasai oleh Dolar AS.
Selain itu, sekitar 40 peratus hutang dunia diterbitkan dalam matawang Dolar AS. Hasilnya, bank-bank pusat dunia memerlukan lebih banyak matawang Dolar AS untuk menjalankan perniagaan. Ini dapat dibuktikan ketika krisis kewangan pada 2008, bank-bank bukan Amerika mempunyai liabiliti antarabangsa sebanyak USD 27 trilion, sebanyak USD 18 trillion adalah dalam matawang Dolar AS. Akibatnya, Federal Reserve terpaksa menaikan ‘dollar swap line’ memandangkan itu satu-satunya cara untuk bank-bank dunia mempunyai bekalan matawang Dolar.
Selain itu, krisis kewangan juga menjadikan dolar lebih banyak digunakan. Contohnya, pada tahun 2018, bank-bank Jerman, Perancis dan Britain mempunyai lebih banyak liabiliti dalam dolar berbanding dengan mata wang mereka sendiri.
Hari ini, antara alasan paling utama kenapa matawang Dolar AS adalah yang paling kuat adalah kerana kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh Amerika Syarikat untuk menyokong matawang tersebut.
Mengapa dolar jadi mata wang global?
‘Kemegahan’ mata wang dolar pada ketika ini tidak akan berlaku tanpa Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944. Sebelum daripada perjanjian berkenaan, dunia bergantung kepada standard emas dalam mengurus matawang. Negara-negara ini bersetuju untuk menentukan nilai tebus matawang masing-masing berdasarkan permintaan emas.
Melalui perjanjian itu, 44 buah negara bersetuju untuk mewujudkan International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia.
Ketika itu, sistem nilai tukar telah diciptakan di Bretton Woods di mana setiap negara menyatukan nilai mata wangnya ke dolar. Ia dengan sendirinya dapat ditukar menjadi emas pada nilai $35 setiap auns.
Ia dirancang untuk memberikan kestabilan dan mencegah perang mata wang pada tahun 1930-an dan merupakan tindak balas terhadap kemelesetan ekonomi.

Amerika Syarikat menyimpan simpanan emas terbesar pada ketika itu dan perjanjian tersebut membolehkan negara lain mengembalikan mata wang mereka dengan dolar dan bukannya emas.
Pun begitu, Amerika Syarikat juga mula tidak mempunyai emas yang mencukupi pada tahun 1960 untuk menampung dolar yang beredar di luar negara itu.
Ekoran usaha yang gagal untuk menyelamatkan sistem tersebut, Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, Richard Nixon telah menangguhkan penukaran dolar kepada emas pada bulan Ogos 1971. Ia menandakan pengakhiran sistem nilai tukar Bretton Woods.
Dolar sudah menjadi mata wang rizab dominan di dunia pada ketika itu tetapi memisahkan nilai dolar dari emas menimbulkan stagflasi iaitu gabungan inflasi dan pertumbuhan yang tidak stabil.
Pun begitu, dolar tetap menjadi ‘raja’ dan ia merupakan mata wang pilihan untuk perdagagangan antarabangsa. Komoditi utama seperti minyak juga telah dijual beli dengan menggunakan dolar AS.
Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada penguasaan dolar termasuk nilai stabilnya, ukuran ekonomi dan peningkatan geopolitik Amerika Syarikat.
Dolar AS dijangka akan terus kekal sebagai matawang dunia, bagaimanapun kedudukannya seakan tercabar apabila kuasa-kuasa dunia lain seperti China dan Rusia mendesak supaya diadakan satu mata wang dunia, yang tidak terikat dengan Dolar AS.
Sumber: The Balance, CFR