Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wabak Norovirus Dilapor Menular Di Britain, Jangkitan 3 Kali Lebih Tinggi Berbanding 5 Tahun Lepas

Amira
Kredit: Google

Norovirus dilaporkan menyerang Britain tiga kali ganda lebih teruk berbanding serangan sebelum ini dalam tempoh lima tahun.

Menurut The Sun UK, virus yang menyebabkan pesakit mengalami muntah-muntah itu boleh tersebar dengan pantas.

Virus yang lazimnya menyerang pada musim sejuk ini merekodkan lebih 150 penularan sejak Mei, kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun-tahun sebelumnya.

Individu yang dijangkiti akan mengalami mual, muntah dan cirit-birit secara tiba-tiba selain sakit sendi serta abdomen.

Penularan dipercayai berlaku apabila individu sihat bersentuhan dengan pesakit atau permukaan yang tercemar, di samping memakan makanan atau meminum air yang mengandungi virus.

Tambah portali tu, tempoh inkubasi virus berkenaan adalah antara 12 hingga 48 jam manakala secara kebiasaannya, ia akan hilang dalam tempoh dua sehingga tiga hari.

Pun begitu, terdapat kes teruk di mana virus terus berada di dalam usus selama berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan.

Seiring perlonggaran sekatan COVID-19 di negara itu, pakar mengkhuatiri peningkatan virus tersebut terutamanya di fasiliti taska dan pusat penjagaan kanak-kanak.

Timbalan Pengarah Public Health England (PHE), Prof Saheer Gharbia berkata, “Norovirus berada pada tahap rendah berbanding biasa sepanjang pandemik dengan kurangnya peluang penularan dalam kalangan komuniti.

“Namun seiring perlonggaran sekatan, kita dapat lihat peningkatan dalam semua peringkat umur.

“Duduk di rumah jika anda mempunyai simptom norovirus. Jangan pergi ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah atau taska sehingga 48 jam selepas simptom hilang,” tambahnya.

Jelas Prof Saheer, virus ini hanya dapat dibendung melalui penjagaan kebersihan dan kerap mencuci tangan.

“Seperti COVID-19, mencuci tangan penting untuk hentikan penularan wabak ini. Tapi ingat, berbeza dengan COVID-19, gel alkohol tidak membunuh norovirus. Jadi sabun dan air adalah yang terbaik,” jelasnya.

Pesakit dinasihatkan berehat dan minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi, tambah The Sun UK.

Sementara itu, individu yang mempunyai simptom dinasihatkan agar tidak pergi ke hospital, sebaliknya menghubungi NHS 111 atau doktor mereka melalui telefon.

Sumber: The Sun UK