Siakap Keli
Gambar Via Twitter

(Video) Doakan Turki, Dilanda Bencana Hutan Terbakar & Ragut 4 Nyawa Setakat Ini

Kebakaran besar dilaporkan telah melanda di beberapa buah kampung dan pusat peranginan di pantai Mediterranean dan Aegean di selatan Turki.

Memetik laporan BBC News, setakat ini seramai empat orang telah terkorban dalam kebakaran itu dan puluhan telah dibawa ke hospital.

Media itu turut melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 60 kebakaran dilaporkan setakat ini. Ia dipercayai bermula sejak 28 Julai lalu.

Diburukkan dengan keadaan angin yang kuat, kawasan kebakaran dikatakan dikesan sekurang-kurangnya di 17 wilayah melibatkan kawasan seluas 4,000 ekar.

Difahamkan, pihak bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus untuk memadam kebakaran tetapi nampaknya ia sudah semakin tidak terkawal.

Penduduk-penduduk di kawasan yang terjejas telah diarahkan untuk mengosongkan rumah masing-masing dan berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

Pun begitu, video dan gambar yang dimuatnaik oleh para pengguna di media sosial memaparkan situasi kebakaran yang amat menakutkan. Api dilihat menjulang dengan sangat tinggi dan mereka mengatakan bahawa banyak haiwan yang turut mati dalam kejadian itu.

Mereka juga turut memohon agar masyarakat dunia menitipkan doa buat penduduk-penduduk di sana.

Siasatan untuk mengetahui punca kebakaran itu telah dijalankan dengan kemungkinan bahawa ada ‘pihak’ yang sengaja mencetuskan kebakaran tersebut.

 

Sumber: BBC

Sofea

There's always another side to every story