Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Kisah Hentian R&R, Suami Ingat Isteri Dah Masuk Kereta, Rupanya Bawa ‘Penumpang’ Lain

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Malam masih muda, takkan dah mengantuk? Seperti biasa, Siakap Keli akan bertukar menjadi Siakap Keliwon menjelang tengah malam.

Untuk kisah malam ni, ianya berlaku di sebuah lebuhraya yang cukup terkenal dengan kisah-kisah mistik lagi menyeramkan. Tak perlu sebut nama, mungkin ramai boleh ‘agak’.

Korang pernah tak alami situasi cemas di mana kawan korang sebenarnya kat tempat lain, tapi yang duduk kat sebelah tu rupanya ‘si dia’?

Mari ikuti kisah yang dikongsikan Shaz Wani dalam Group Rumah Puaka di bawah ini.

Gambar hiasan | Google

Assalamualaikum.

Kisah-kisah seram yang pernah berlaku di L*** memang dah sinonim dengan kita semua kan? Ada banyak versi kisah yang diceritakan dari mulut ke mulut. Di sini, aku nak cerita jugak salah satu kisah seram di L*** yang mungkin korang pernah dengar.

Sebuah kereta meluncur laju membelah jalan Lebuhraya ****** ***** lewat malam itu. Jam waktu itu menunjukkan 2 pagi lebih. Marzuki tenang mengawal stereng dengan ditemani isterinya, Sarah. Anak-anak mereka Lia dan Deni telah lama diulit mimpi di tempat duduk belakang. Sarah dan Marzuki rancak berborak untuk menghilangkan rasa mengantuk dan sunyi malam.

Sarah: Abang, rasa macam nak buang air la. Abang stop dekat mana-mana R&R kejap.

Sarah dah berkerut dahi mehanan kencing. Marzuki hanya mengangguk. Lebih kurang satu kilometer, terlihat papan tanda R&R. Tanpa berlengah, Marzuki terus membelok masuk. Sarah segera melompat turun kereta dan mencicit ke tandas. Marzuki hanya menunggu di dalam kereta bersama anak-anak yang sedang lena.

Tak sampai lima minit, Sarah kembali ke kereta. Tanpa sepatah kata, Marzuki terus memulakan perjalanan yang berbaki beberapa jam sahaja. Marzuki agak pelik bila isterinya hanya diam sedari tadi, tidak seperti biasa mulutnya becok bercerita. Marzuki beranggapan Sarah mungkin kepenatan.

Trutt..trutt..trutt..trutt.. Bunyi telefon mengejutkan Marzuki yang sedang fokus memandu. Dilihat skrin telefon, tertera nama isterinya. Berkerut dahi Marzuki.

“Apahal bini aku ni? Saje la tu nak kenakan aku,” monolog Marzuki sendiri sambil mengerling Sarah di sebelah. Sarah hanya membatu sambil pandangannya dihala ke luar. Marzuki tekan butang ‘off’. Malas nak layan prank si isteri.

Selang beberapa jam, mereka sampai di rumah. Marzuki terus mengangkat anak-anaknya masuk ke bilik. Sarah hanya menonong ke bilik. Setelah membawa masuk semua beg baju mereka anak-beranak, Marzuki melangkah ke bilik. Telefonnya berdering nyaring. Nama isterinya di skrin. Marzuki pelik, diintai si isteri di dalam bilik. Kelihatan seperti sedang lena.

Dalam kepelikan, Marzuki angkat juga. Terdengar esak tangis si pemanggil di hujung sana.

“Kenapa abang tinggal saya kat sini? Tolonglah datang ambik saya balik, abang! Saya takut ni!” Suara esak tangis Sarah jelas di talian. Marzuki keliru. “Kalau dia bini aku, siapa dalam bilik?” sempat Marzuki bermonolog.

“Abang, dengar tak ni? Cepatlah, takde orang dekat sini ni. Abang tinggal saya sorang-sorang kat sini, saya takut ni,” tersedu-sedan Sarah memarahi suaminya. Marzuki sudah pucat lesi, tanpa berlengah Marzuki terus mengejutkan Lia dan Deni dan terus memecut laju ke R&R tadi.

Sampai di sana, terus berlari si isteri dengan wajah dibasahi air mata dan keringat. Tanpa berlengah, mereka terus meninggalkan tempat misteri itu. Pertanyaan anak-anak langsung tidak dijawab. Hanya selepas selamat tiba di rumah barulah mereka sama-sama bercerita kejadian pelik yang terjadi tadi.

Sumber: Shaz Wani melalui Group Rumah Puaka

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'