Siakap Keli
Gambar Via NPR/Channels Television

Kajian Dapati Atlet Lebih ‘Gembira’ Menang Pingat Gangsa Olimpik Berbanding Menang Pingat Perak, Tapi Kenapa? Ini Jawapannya

Tidak kira apa jua jenis kejuaraan atau temasya sukan sekalipun, setiap atlet pastinya menanam impian di dalam diri agar dapat membawa pulang pingat kemenangan buat negara masing-masing.

Pun begitu, adat setiap pertandingan ada kalah dan menangnya.  Terkadang, nasib tidak berpihak kepada sesetengah atlet walaupun telah mencuba sehabis baik.

Bagi yang mendapat tiga tempat teratas pula iaitu sama ada membawa pulang pingat emas, perak atau gangsa, ia merupakan momen yang sangat bermakna dan akan menjadi kenangan terindah buat mereka.

Bagaimanapun, ‘kegembiraan’ yang dirasai oleh mereka sebenarnya mungkin berbeza.

Menurut NPR, pemenang pingat gangsa rupa-rupanya lebih bahagia dan gembira daripada pemenang pingat perak. Ekspresi tersebut juga dapat dilihat di Olimpik Tokyo pada kali ini walaupun setiap pemenang perlu memakai pelitup muka.

Gambar Via Google

Penolong profesor pemasaran di University of Iowa, Andrea Luangrath mengatakan bahawa kajian yang dilakukan oleh pihaknya mendapati bahawa pemenang tempat ketiga lebih cenderung untuk mengekpresikan kegembiraan mereka selepas acara Olimpik.

“Sudah tentulah pemenang pingat emas yang paling bahagia tetapi ia berlawanan dengan pemenang pingat perak yang dilihat agak sedih walaupun berada di tempat kedua terbaik,” katanya.

Mengapa keadaan seperti itu berlaku?

Pernah dianalisis pada tahun 1995, Andrea dan rakan-rakannya masih menjalankan kajian mengenai fenomena tersebut bagi ingin mengetahui sama ada ia masih berlaku atau tidak.

Tidak cuma itu, kajian tersebut juga dilakukan bagi mengetahui mengapa pemenang pingat perak kelihatan begitu menyedihkan walaupun mereka tersenyum.

Menerusi kajian itu, mereka mengetengahkan teori bahawa atlet-atlet kelas dunia melihat kemenangan melalui standard perbandingan yang berbeza.

“Pemenang pingat perak lebih cenderung memikirkan dan membandingkan diri mereka dengan pemenang pingat emas itu,” katanya.

Jelasnya lagi, pemenang pingat perak mempunyai satu tanggapan atau ‘penyesalan’ di dalam diri mereka iaitu merasakan bahawa mereka boleh mendapatkan pingat emas jika melakukan sesuatu yang berbeza dan luar biasa.

Berbeza pula dengan pemenang pingat gangsa, mereka sebenarnya membuat perbandingan ke bawah.

“Mereka fikir sekurang-kurangnya mereka bukan pemenang tempat keempat, paling tidak tetap dapat pingat gangsa,” ujar Andrea.

Ini kerana, dalam acara tertentu misalnya bola sepak atau badminton dimana hanya dua wakil layak ke final, pingat perak diperolehi selepas tewas dalam perebutan tempat pertama. Manakala pingat gangsa diperolehi selepas memenangi penentuan kedudukan ke-3/4. Mudahnya, pingat perak diperolehi selepas ‘kalah’, sedangkan gangsa diperolehi selepas ‘menang’.

Teori itu disokong melalui susunan pangkalan data gambar-gambar pemenang di podium dari lima edisi sukan Olimpik sejak tahun 2000.

Semua gambar itu telah disiarkan melalui perisian yang direka untuk ‘membaca’ wajah, ia dapat membezakan antara seseorang yang senyum untuk menutup kekecewaan atau yang benar-benar tersenyum.

Teori kedua pula menjelaskan bahawa pemenang pingat perak mungkin menyertai pertandingan dengan harapan agar mereka mempunyai prestasi yang lebih baik. Justeru, bila mereka tidak memenuhi ramalan tersebut, ia dapat mempengaruhi kegembiraan mereka selepas pertandingan.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga lebih cenderung untuk tampil lebih daripada yang dijangkakan.

Gambar Via NPR

Laungrath mengatakan bahawa pasukan gimnastik Britain telah membuktikan bahawa kedua-dua teori itu tepat ketika mereka membawa pulang pingat gangsa. Pasukan itu pada awalnya ketinggalan dalam pertandingan dengan mendapat mata yang rendah tetapi mereka berjaya mengalahkan Itali.

Kajian tersebut telah diterbitkan oleh Persatuan Psikologi Amerika.

Sumber: NPR

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.