Sebuah keluarga dilapor telah ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Dusun Laman Natai, Kabupaten Sintang, Kalimantan Barat pada Rabu.
Menurut Tribun Papua, mereka disyaki menjadi mangsa pembunuhan bersiri.
Mayat mereka yang terdiri dari seorang datuk, nenek dan cucu ditemui pada waktu yang berlainan tetapi di lokasi yang berdekatan di antara satu sama lain.
Difahamkan, beberapa kesan luka juga dapat dilihat di tubuh badan mereka.
“Kita sedang melakukan siasatan. Ada beberapa barang bukti yang telah kita dapat dan siasatan akan terus dijalankan,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sintang, AKP Hoerrudin.

Pihak polis juga masih lagi memburu individu yang bertanggungjawab ke atas kejadian ini.
“Selain tempat kejadian, bukti turut dijumpai di rumah seorang penduduk. Ada barang milik mereka yang hilang iaitu sejumlah wang dan beberapa buku tabungan,” kata Hoerrudin.
Mayat mereka dipercayai telah dibawa ke Hospital Umum Ade M Djoen Sintang untuk dibedah siasat dan kemudian akan dikebumikan.
Sementara itu, seorang jiran dan teman rapat mangsa merasakan bahawa keluarga itu disambar petir.
“Rasanya mereka disambar petir. Kami terkejut, ia sangat tragis dan pertama kali berlaku di kampung ini,” katanya.
Sumber: Tribun Papua