Bukan senang nak buat pilihan dalam hidup ini terutama apabila tibanya waktu makan. Ia bagaikan sudah menjadi masalah universal yang selalu dialami semua orang.
Disebabkan masalah itu, seorang lelaki dilaporkan telah mencipta satu program komputer untuk memudahkan teman wanitanya memilih tempat makan.
Aagam Badecha yang juga merupakan seorang jurutera perisian ‘menghadiahkan’ program itu kepada kekasih hatinya, Christine Sun, sempena satu ulang tahun hubungan mereka.
Menggunakan kemahiran pengekodannya, dia telah mencipta program yang membolehkan mereka memilih tempat makan dalam 10 saat.
“Saya selalu ragu-ragu ketika ingin makan, Aagam selalu bertanya kepada saya dan saya menjawab tidak tahu.

“Kami terkadang meluangkan masa selama satu jam untuk mencari tempat makan sehingga dia membuat program ini yang membolehkan saya membuat pilihan dalam masa 10 saat,” kata Christine.
Aagam pula mengatakan bahawa ia merupakan usaha kecil yang dilakukan untuk Christine.
“Saya terfikir, kenapa tidak mencipta sesuatu yang berguna untuk kami berdua. Mungkin saya boleh cipta perisian untuk memilih tempat makan,” katanya.
Menurutnya lagi, dia menggunakan Application Programming Interface (API) yang merupakan hubungan di antara program komputer.
Dia menggunakan API tersebut untuk memilih 50 restoran dalam pelbagai kategori dan salah satu dari restoran itu akan terpilih.
“Saya tidak fikir akan menjual program tersebut dan menjana jutaan wang kerana ia merupakan hadiah untu Christine,” katanya.
Sumber: Mirror