Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Pernah Tular Foto ‘Rare’ Gajah Tidur Ketika Migrasi, Kini Sampai ‘Rumah’ Selepas Lebih 482km Berjalan

Sebelum ini tular kisah sekumpulan gajah yang berhijrah merentasi bandar-bandar di wilayah Yunnan, China. Setelah melalui perjalanan kira-kira 300 batu, kumpulan itu akhirnya dilaporkan tiba ke Kunming sebelum berpatah balik semula ke selatan.

Menurut Daily Mail, perjalanan gajah-gajah tersebut selama 17 bulan telah mendapat perhatian orang ramai yang menyaksikan penghijrahan mereka secara langsung melalui rakaman daripada kamera dron.

Malah, mereka juga sempat menyaksikan detik kelahiran dua ekor anak gajah dalam kawanan itu yang seterusnya menjadi bintang di media sosial tempatan.

Kredit: Daily Mail

Sepanjang migrasi, kumpulan yang terdiri daripada 14 ekor gajah Asia tersebut dilaporkan telah menyebabkan kerosakan bernilai £760,000 (kira-kira RM4.45 juta).

Antara kerosakan yang dilaporkan adalah melibatkan kenderaan, ladang, rumah serta kedai milik penduduk di lokasi yang mereka lalui.

Kredit: Daily Mail

Kawanan berkenaan turut dilaporkan melalui lebuhraya, pusat bandar serta rumah penduduk dipercayai untuk mencari makanan.

Namun, selepas tiba ke pinggiran Kunming, kumpulan itu kemudiannya dilaporkan berpatah balik ke selatan.

Mengulas mengenai sikap haiwan bijak itu, pembantu profesor psikologi gajah di Hunter College di City University of New York, Joshua Plotnik berkata, penghijrahan itu mungkin berkait dengan keperluan makanan, air dan tempat perlindungan.

Kredit: CGTN/Daily Mail

“Kebenarannya, tiada siapa yang tahu. Kemungkinan besar ia terkait dengan keperluan terhadap sumber – makanan, air dan tempat tinggal melihat kepada fakta di mana kebanyakan lokasi gajah Asia tinggal secara liar, terdapat peningkatan gangguan manusia menyebabkan fragmentasi habitat dan kehilangan atau kekurangan sumber,” katanya.

Sementara itu, seorang profesor di Universiti Yunnan pula berpendapat bahawa kumpulan tersebut ‘tersesat’ setelah mengikuti ketua yang kurang berpengalaman.

Kredit: Daily Mail

Sebagai haiwan matriarkal yang terdiri daripada 13 gajah betina serta tiga gajah jantan itu dipercayai telah mengikuti gajah betina yang paling tua dan paling bijak.

Gajah jantan yang telah matang pula dipercayai akan berpisah dari kawanan dan mengembara sendiri atau dalam kumpulan sejantina sepertimana dilakukan tiga daripada gajah dalam kumpulan tersebut.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.