Siakap Keli
Kredit: El Mizateco/Ary Franklin Aquino

(Video) Vila Terbiar Muncul Secara ‘Misteri’ Selepas 28 Tahun, Rupanya Ada Kisah Seram ‘Hantui’ Bangunan Itu

Sebuah vila misteri di pantai La Puntilla, Costa del Sol, El Salvador, membuatkan para pengunjung terpana melihat binaan misteri itu.

Menurut Oddity Central, biarpun punca sebenar bagaimana vila itu boleh terdampar di situ masih misteri, terdapat teori popular yang percaya bangunan itu adalah salah satu ‘mangsa’ taufan kuat yang melanda El Salvador kira-kira 20 tahun lalu.

Binaan itu dilaporkan menjadi tular selepas seorang pengguna TikTok tempatan merakam dirinya menjelajah ke dalam struktur tersebut, membuatkan orang ramai tertarik dengan lokasi berkenaan.

Berdasarkan laporan akhbar tempatan yang dipetik semula oleh Oddity Central, warga tempatan percaya vila itu merupakan sebuah hotel yang dibina pada 28 tahun lalu berhampiran pantai.

Kredit: Ary Franklin Aquino

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada taufan Mitch pada 1998 yang membunuh lebih  9,000 nyawa di El Salvador atau hakisan pantai yang menyebabkan hotel itu akhirnya terbiar sedemikian.

Tambah portal itu, struktur itu kemudiannya dijadikan gereja sebelum kembali menjadi terbiar disebabkan keadaannya yang semakin memburuk.

“Mereka bina terlalu hampir dengan pantai, itu apa yang berlaku,” kata salah seorang nelayan tempatan apabila berbicara mengenai hotel itu.

“Sebelum ini tak perlu kebenaran rasmi untuk membina, sebab itulah mereka pergi terlampau jauh.”

Sehingga kini, bangunan yang retak itu dilaporkan masih wujud di pantai tersebut dan seringkali menerima kunjungan para pelancong yang berminat dengan struktur tersebut.

Kredit: Ary Franklin Aquino

Sementara itu, salah seorang penduduk tempatan mendakwa, dia tidak berani mendekati hotel tersebut dek kerana kisah seram yang beredar berkenaan bangunan berkenaan.

Kata Coralia Sotelo, beberapa individu yang pernah ke pantai itu pada waktu malam mendakwa pernah melihat sosok hitam seorang lelaki yang tinggi di hotel berkenaan.

“Saya takut nak ke sana. Tak pernah pergi atau dekati. Budak-budak lelaki yang pergi pada waktu malam untuk tangkap penyu beritahu saya mereka ternampak seorang lelaki tinggi berwarna hitam di sana,” katanya seperti ditulis portal itu.

Kredit: Ary Franklin Aquino

Sumber: Oddity Central, RT

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.