Siakap Keli

Kelahiran Menurun 4.4 Peratus Manakala Kematian Meningkat 10.1 Peratus Pada Suku Tahun Kedua 2021

PUTRAJAYA, 11 Ogos 2021 – Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021. Mengulas berkaitan laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan, “Pada suku tahun kedua tahun ini, jumlah kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus (111,573 kelahiran), berbanding suku tahun kedua 2020 (116,688 kelahiran). Kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki (55,692 kelahiran). Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh W.P. Labuan (390 kelahiran: 0.3%). Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa COVID-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya. Penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di USA, Republic of Korea, United Kingdom, France dan Spain”.

Mengulas lanjut, sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2021, meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 (40,241 kematian). Sejumlah 25,216 kematian adalah lelaki sementara 19,091 kematian adalah perempuan. Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian (15.4%) manakala W.P. Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian (0.1%). Sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh COVID-19 direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2021, meningkat daripada 78 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020. Data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat COVID-19 dicatatkan oleh kumpulan umur 65-69 tahun dan diikuti kumpulan umur 70-74 tahun. Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 1,236 kematian manakala W.P. Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya 4 kematian.

Beliau turut mengulas bahawa pandemik COVID-19 tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia. Jangkaan hayat bagi bayi yang lahir pada tahun 2021 secara puratanya dijangka boleh hidup mencecah umur 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding sedekad lalu, 74.3 tahun (2011). Perbandingan mengikut jantina menunjukkan secara purata bayi perempuan hidup lebih lama berbanding bayi lelaki dengan peningkatan jangkaan hayat 0.5 tahun berbanding lelaki, 0.4 tahun bagi tempoh 2011 hingga 2021. Berdasarkan jurnal bertajuk Assessing the potential impact of COVID-19 on life expectancy oleh Guillaume Marois, Raya Muttarak and Sergei Scherbov sekiranya kadar prevalensi kematian COVID-19 berada di bawah 1 atau 2 peratus, penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia tidak akan mempengaruhi jangkaan hayat secara signifikan. Kajian juga mendapati, sekiranya kadar prevalensi berada pada 10 peratus, terdapat penurunan jangkaan hayat ketika lahir melebihi satu tahun bagi North America, Europe dan Latin America dan Caribbean. Manakala bagi negara Southeastern Asia dan sub-Saharan Africa, sekiranya kadar prevalensi kematian COVID-19 berada pada masing-masing 15 peratus dan 25 peratus, terdapat penurunan jangkaan hayat ketika lahir satu tahun. Bagi tempoh Julai 2020 hingga Jun 2021, Malaysia mencatatkan kadar prevalensi kematian COVID-19 yang masih rendah iaitu 0.02 peratus.

Selain itu, beliau juga menyatakan “Berdasarkan data anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2021 dianggarkan 32.66 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun kedua 2020 (32.58 juta). Jumlah penduduk ini merangkumi 29.96 juta orang (91.8%) Warganegara dan 2.69 juta orang (8.2%) Bukan Warganegara. Komposisi penduduk Bukan Warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua 2021. Ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Data penduduk ini adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran & kematian dan migrasi bersih. Data ini akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh”.

Pada suku tahun kedua 2021, penduduk lelaki (16.77 juta) melebihi penduduk perempuan (15.88 juta). Nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Manakala nisbah jantina penduduk Warganegara dan Bukan Warganegara adalah 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.29 juta kepada 2.40 juta bagi tempoh yang sama. Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk. Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun daripada 7.58 juta pada suku tahun kedua 2020 kepada 7.51 juta pada suku tahun kedua 2021. Manakala, penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.71 juta (suku tahun kedua 2020) kepada 22.74 juta pada suku tahun kedua tahun ini.

Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun kedua 2021 ialah Selangor (20.1%) diikuti oleh Sabah (11.7%) dan Johor (11.6%). Sebaliknya, W.P. Labuan dan W.P. Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 dan 0.4 peratus.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.

Data yang dikumpulkan melalui Banci Malaysia 2020 sangat berguna untuk kajian sosio demografi dan aspek-aspek lain seperti penggubalan dasar dan perancangan untuk memantau trend demografi dan program pelaksanaan, begitu juga untuk penyelidikan dan kajian ilmiah mengenai hubungan antara trend kesuburan & kematian dan pembangunan sosio ekonomi. Komitmen dan sokongan semua pihak sangat diperlukan agar Banci Malaysia 2020 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Siti Fatimah