KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew hari ini dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan kes itu akan diteruskan sehingga polis berpuas hati untuk merujuk kes kepada Jabatan Peguam Negara bagi nasihat dan arahan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi selain menyebar sebarang bahan yang boleh menjejaskan siasatan kes tersebut.
Sementara itu, Ebit ketika ditemui pemberita berkata beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Ia satu fitnah yang sangat kejam dan melampau tetapi saya reda dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.
Terdahulu, Ebit tiba di Bukit Aman pada 9 pagi tadi dan meninggalkan perkarangan Bukit Aman pada kira-kira 2 petang.
Pendakwah terkenal Ustaz Ebit Liew selesai beri keterangan di Bukit Aman, di sini, berhubung siasatan melibatkan gangguan seksual. pic.twitter.com/yBAxxzL7RA
— BERNAMA (@bernamadotcom) August 19, 2021
Sumber: Bernama