Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, telah menjalankan siasatan dan mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti.
Mereka didapati telah mewujudkan kumpulan tertentu dalam platform media sosial yang bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi tujuan lulus Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, SPA memaklumkan bahawa mereka memandang serius mengenai perkara tersebut dan telah mengambil tindakan tegas dengan membatalkan keputusan peperiksaan dan menyenaraihitamkan calon yang terlibat.
“Permohonan calon bagi sebarang jawatan tidak akan dipertimbangkan,” kata SPA.
SPA juga menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan salah laku integriti kepada Unit Integriti SPA Malaysia, Aras 10, Blok F1, Kompleks F, 62000, W.P Putrajaya atau https://aduan.spa.gov.my/aduanv2/.