Bagi yang pernah mendapat tugasan luar dan perlu menetap di sesuatu lokasi dalam tempoh masa tertentu, kadang-kala ada yang pernah melalui detik-detik seram diganggu oleh makhluk halus.
Walau tidak menonjolkan ‘diri’, gangguan secara halus seperti suara, bunyi, kejadian aneh dan sebagainya sudah cukup membuatkan bulu roma sesiapa pun meremang.
Seperti yang dialami oleh Hilmi Ismail semasa dia dan rakan-rakannya bertugas di luar daerah baru-baru ini. Katanya, mereka diganggu makhluk tersebut semasa tinggal di bilik sewa di sebuah kampung.
Nak tahu cerita lanjut, jom ikuti perkongsian sebenar Hilmi dalam Group Facebook Kelab Cerita Hantu Malaysia di bawah ini.
Gangguan semasa tugasan luar
Ini kisah semasa aku dan rakan-rakan sejabatan menjalankan satu tugas di luar daerah. Kami perlu berada selama hampir dua bulan di daerah berkenaan untuk satu tugas jabatan yang dikhususkan kepada daerah terbabit dan juga kawasan sekitarnya.
Aku bersama 6 orang rakan sejabatan (3 orang termasuk aku dari negeri yang sama dan 3 orang lagi dari ibu pejabat di Kuala Lumpur) ditugaskan di satu kawasan liputan.
Bagaimanapun kami akan menghantar laporan kerja kami kepada pejabat pusat gerakan utama di daerah berkenaan. Untuk itu jabatan telah menyewa 2 buah bilik di sebuah kawasan kampung untuk penginapan kami.
Kami terus ke bilik berkenaan yang terletak dalam kawasan tanah milik tuan bilik sewa (rumahnya juga dalam kawasan yang sama) selepas selesai urusan taklimat, tadbir dan logistik.
Bilik telah dikemaskan oleh tuan rumah dan kami berlima menunaikan solat sunat 2 rakaat (seorang lagi bukan muslim, dan sementara kami bersolat, dia menguji semua peralatan milik jabatan yang bakal digunakan untuk tugas kami).
Esoknya kami keluar menjalankan tugas mengikut sektor masing-masing yang telah dipertanggungjawabkan oleh pegawai atasan. Satu tugasan pagi hingga tengah hari dan satu lagi tugasan di sebelah petang.
Sebelah malam ada taklimat lepas tugas dan serahan laporan di pusat gerakan tapi aku tidak dapat hadir bersama kawan-kawan kerana tidak sihat (lelah). Setelah makan ubat, aku berbaring di katil dan membuka mp3 bacaan ayat suci Al-Quran pada telefon pintar sementara menunggu untuk lelap.
Suara menderam diikuti bunyi cakaran
Tiba-tiba kedengaran seperti satu suara menderam diikuti bunyi seperti cakaran pada tingkap kaca yang menghadap ke arah dusun di belakang bilik sewa kami.
Bunyi itu saling bertingkah dengan alunan ayat suci seolah-olah marah pada aku kerana membuka audio bacaan Quran dan mahu aku menghentikannya, sebaliknya aku meningkatkan lagi kekuatan bunyi pada telefon hingga ‘makhluk’ tadi mula mengalah.
Bunyi deraman dan cakaran tadi semakin beransur perlahan dan hilang, tetapi diikuti dengan satu bunyi seakan jeritan kesakitan yang sedikit nyaring tetapi singkat. Aku menarik nafas lega kerana pengacau itu tewas, setidaknya untuk malam ini.
Selang beberapa hari kemudian, aku dan rakan-rakan setugas memutuskan untuk makan malam di sebuah restoran tomyam tak jauh dari bilik penginapan.
Kami memutuskan untuk berjalan kaki saja. Dalam perjalanan kami melintas dusun milik jiran tuan tanah/bilik sewa, kedengaran suara orang ketawa dari arah dusun.
Dari nada ketawa, kami semua tahu itu bukan suara manusia. Apa yang kami perasan, suara itu seakan ‘bergerak’ mengikut kami, sampai ke sempadan tanah dengan sebuah rumah sebelum tiba di warung.
Memandangkan kebanyakan dari kami berpengalaman berdepan dengan gangguan seperti itu, kami buat tak peduli saja. Untunglah semasa kami balik, tiada lagi ‘sapaan’ macam tadi.
Sumber: Hilmi Ismail melalui Kelab Cerita Hantu Malaysia