Garisan pantai di Malaysia dilaporkan telah mengalami perubahan dan hakisan sejak beberapa tahun yang lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pesisir pantai merupakan kawasan yang cenderung untuk terdedah kepada pelbagai ancaman terutama hakisan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengatakan bahawa garis pantai Malaysia ialah 8,840.0 km dan 1,347.6 km telah mengalami hakisan pantai sehingga tahun 2019.
“Sarawak dengan garis pantai 1,234.1 km mengalami hakisan pantai sepanjang 492.5 km diikuti Sabah (429.3 km) dan Perak (95.1 km),” katanya.
Jelasnya lagi, impak daripada hakisan yang berlaku menyebabkan kerugian terhadap sektor pelancongan dan sumber ekonomi kerana selama ini kewujudan pantai yang cantik, persekitaran bersih dan selamat menjadi daya penarik bagi aktiviti pelancongan seperti di Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman dan Pulau Sipadan.
Perkara itu termasuk dalam Statistik Alam Sekitar 2020 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memaparkan statistik alam sekitar di 14 negeri.