Siakap Keli
Kredit: Hello Doktor/Google

Bukan Covid-19 Sahaja, Ini Senarai 12 Penyakit Yang Divaksin Di Malaysia & Salah Satunya ‘Beguk’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pandemik Covid-19 masih lagi belum menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berakhir. Satu-satunya usaha yang giat dijalankan kerajaan kini adalah vaksinasi besar-besaran melalui inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengurangkan penularan jangkitan.

Bercakap tentang vaksin, mungkin sesetengah di antara kita faham bahawa vaksin yang ada di negara kita kini hanya fokus untuk wabak Covid-19 sahaja. Bagaimanapun hakikatnya, terdapat pelbagai jenis penyakit di Malaysia yang memerlukan vaksinasi.

Oleh itu, mari kita kenali 12 jenis penyakit yang divaksin di Malaysia melalui perkongsian dari laman portal kesihatan Hello Doktor di bawah ini. Semoga bermanfaat!

Kenali Penyakit yang Divaksin di Malaysia

1. Tuberkulosis (TB)

Agen penyebab: bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Penyakit ini paling kerap menjejaskan paru-paru. Juga dikenali sebagai batuk kering, pesakit mengalami jangkitan sehingga menjejaskan fungsi paru-paru. Batuk berdarah, sesak nafas dan hilang berat badan adalah antara keadaan yang dihadapi oleh penghidap TB.

2. Hepatitis B

Agen penyebab: virus Hepatitis B (HBV).

Virus ini secara eksklusif menyerang hati, seterusnya menyebabkan keradangan. Dalam jangka masa panjang, struktur hati mengalami kerosakan sehingga fibrosis dan sirosis. Akhirnya, kegagalan hati berlaku.

Risiko kanser hati juga meningkat. Apa yang lebih merunsingkan adalah penyakit Hepatitis B kebiasaannya tidak menunjukkan tanda dan simptom yang jelas sehingga berlaku komplikasi.

3. Difteria

Agen penyebab: bakteria Corynebacterium diphtheriae.

Bakteria ini menyerang saluran pernafasan atas (tonsil, laring) dan membentuk lapisan yang boleh menutup saluran pernafasan. Toksik yang dihasilkan oleh bakteria ini boleh menyerang jantung, urat saraf dan buah pinggang.

4. Tetanus (kancing gigi)

Agen penyebab: bakteria Clostridium tetani.

Jika anda pernah melihat pesakit kancing gigi, pasti ia akan membuatkan anda seram sejuk. Pesakit mengalami kekejangan otot rahang, lengan dan belakang badan. Jika kekejangan sangat kuat, tulang boleh patah. Maut boleh berlaku apabila otot pernafasan terjejas.

5. Pertussis (batuk kokol)

Agen penyebab: bakteria Bordetella pertussis.

Bermula seperti demam selesema biasa, diikuti dengan batuk berterusan sehingga 10 minggu atau lebih. Bunyi teriakan halus (whoop) dapat didengari antara serangan batuk semasa pesakit menarik nafas. Batuk yang dialami sangat teruk sehingga termuntah, tulang rusuk patah dan menjadi sangat letih.

6. Pneumonia (jangkitan paru-paru)

Agen penyebab: bakteria Haemophilus influenza B (Hib).

Pneumonia boleh disebabkan oleh banyak agen. Namun, jangkitan oleh Hib adalah lebih berat. Tambahan pula, bakteria ini juga berpotensi menyebabkan jangkitan selaput otak (meningitis) serta jangkitan di bahagian lain termasuk muka, mulut, darah, sendi, jantung dan tulang. Kanak-kanak di bawah 5 tahun paling berpotensi dijangkiti Hib.

7. Poliomyelitis

Agen penyebab: virus Poliovirus.

Virus masuk melalui mulut dan boleh tersebar dalam kalangan orang sekeliling. Apabila seseorang dijangkiti, virus tersebut akan menyerang sistem saraf dan menyebabkan lumpuh kekal.

Tiada rawatan khusus bagi penyakit ini melainkan rawatan sokongan melalui terapi fizikal. Hanya vaksin yang mampu melawan poliomyelitis.

8. Measles (demam campak)

Agen penyebab: virus Measles.

Penyakit berjangkit ini masih lagi mencatatkan angka yang tinggi di Malaysia, iaitu di tangga ke-10 kes demam campak tertinggi di dunia meskipun vaksin percuma diberikan.

Kanak-kanak yang dijangkiti mengalami tanda-tanda demam biasa ditambah dengan ruam di muka dan seluruh badan. Nampak ringan tetapi ia sebenarnya berpotensi membawa maut terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kurang zat.

9. Mumps (beguk)

Agen penyebab: virus Mumps.

Virus yang tersebar melalui air liur dan cecair mulut ini menyebabkan radang pada kelenjar air liur parotid yang terletak di pipi, di bawah dan hadapan telinga. Beguk mempunyai beberapa risiko komplikasi termasuk meningitis, pankreatitis, keguguran dan orchitis yang boleh menyebabkan mandul.

10. Rubella (campak Jerman)

Agen penyebab: virus Rubella.

Seperti demam campak, virus ini menyebabkan tanda-tanda demam biasa dan ruam. Simptom kebiasaannya lebih ringan berbanding demam campak. Namun, antara perkara utama yang menjadi perhatian adalah jangkitan sebelum dan semasa mengandung bagi wanita.

Jika berlaku, anak di dalam kandungan tersebut berisiko menghidap congenital rubella syndrome (CRS). Anak yang lahir mengalami masalah penglihatan (katarak), pendengaran (pekak) serta masalah jantung dan otak.

11. Kanser serviks

Agen penyebab: virus Human Papilloma Virus (HPV).

Virus HPV berpotensi menyebabkan kanser serviks (pangkal rahim). Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua jenis HPV (16 dan 18) bertanggungjawab ke atas 70% kes pra-kanser dan kanser. Rahim mungkin terpaksa dibuang untuk merawat kanser ini.

12. Ensefalitis Jepun (JE)

Agen penyebab: virus Japanese Encephalitis (JE).

Seseorang boleh dijangkiti apabila digigit nyamuk yang membawa virus JE. Ia hidup di dalam babi dan burung liar. Kebiasannya, kawasan yang membela binatang ini adalah berisiko. Pesakit mengalami radang otak (ensefalitis) menyebabkan demam, sakit kepala atau lumpuh dan koma.

Kesemua 12 penyakit yang disebutkan adalah yang termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Namun, terdapat juga vaksin pilihan bagi penyakit lain termasuk:

  • Chickenpox (cacar air).
  • Cholera (taun).
  • Hepatitis A.
  • Influenza (flu).
  • Thypoid (demam kepiatu).
  • Penumococcal.
  • Meningococcal.

Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab. Bagaimana anda ingin menjawab persoalan anak-anak anda jika mereka mandul disebabkan beguk, mendapat anak buta dan pekak kerana rubella atau terpaksa dibuang rahim kerana kanser serviks?

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.