Dalam apa jua jenis sukan, semangat kesukanan sememangnya perlu diterapkan oleh setiap pemain walaupun masing-masing sedang berusaha merebut piala atau pingat kemenangan.
Ia sedikit sebanyak menggambarkan aspirasi bahawa sukan dapat ‘diraikan’ bersama-sama.
Sama seperti kisah yang tular sejak tahun 2012 ini mengenai pelari dari Sepanyol, Ivan Fernandez Anaya yang enggan mengambil kesempatan ke atas lawannya dari Kenya, Abel Mutai semasa acara merentas desa di Burlada, Navarre.
Bahkan, kisah mereka itu menjadi rujukan untuk guru di sebuah sekolah di India untuk mengajar pelajar-pelajarnya mengenai nilai murni dan kejujuran.
Mengimbas peristiwa di acara pada 2 Disember 2012 itu, Ivan telah mengagumkan dunia dengan keputusannya untuk memberikan kemenangan kepada Abel.

Difahamkan, ketika itu Abel telah mengalami kekeliruan dengan merasakan bahawa dia telah melintasi garisan penamat dan berhenti berlari walaupun dia masih lagi berada 10 meter jauh dari penamat.
Melihat keadaan itu, Ivan boleh saja sebenarnya untuk memecut ke garisan penamat dan mendapat tempat pertama namun dia menunjukkan nilai yang baik apabila telah membantu Abel meneruskan semula larian.
“Abel memandang ke belakang dan melihat orang ramai memberitahunya untuk terus berlari tetapi dia tidak dapat memahami bahasa Sepanyol,” kata Ivan.

Disebabkan itu, Ivan telah ‘membimbing’ Abel sehingga ke garisan penamat.
“Saya melakukan apa yang harus saya lakukan, saya tidak layak menang. Dia adalah pemenang yang sah. Sebaik saja saya melihat dia berhenti, saya tahu bahawa saya tidak boleh melintasinya,” kata Ivan selepas pertandingan itu.
Sehingga kini, kisah tersebut masih lagi diperkatakan kerana semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh Ivan.