Siakap Keli
Gambar Via CGTN/Quartz

Didakwa Terpisah Kerana Perang, Ini Kisah ‘Sebenar’ Dua Beradik Pelarian Syria Ini Berpelukan Di Olimpik

Seperti edisi-edisi sebelum ini, temasya Olimpik di Tokyo pada kali ini juga mempunyai 1001 kisah yang menarik untuk diikuti. Selain momen-momen kejayaan atau kekalahan atlet, ada pelbagai lagi peristiwa yang tidak terjangka berlaku.

Salah satunya adalah mengenai gambar dua atlet ini yang berpelukan sehingga menjadi tular di media sosial. Setelah dirungkai, dua atlet tersebut merupakan adik beradik yang berasal dari Syria namun bertanding di Olimpik dengan pasukan yang berlainan.

Menurut CGTN News, Mohamad Maso mewakili Syria dalam acara triatlon, manakala adiknya, Alaa pula terlibat dalam acara renang untuk pasukan pelarian Olimpik.

Ada beberapa pengguna media sosial yang mendakwa bahawa mereka berpelukan erat kerana baru bertemu selepas bertahun-tahun terpisah kerana konflik di Syria.

Gambar Via CGTN

Pun begitu, dua beradik itu dipercayai tinggal di Jerman dan mereka meninggalkan Syria pada tahun 2015 untuk berkelana ke Eropah dalam keadaan yang penuh risiko bahaya.

“Mohamad dan Alaa tinggal bersama di Jerman. Mereka tiba bersama di Tokyo dan sebilangan besar keluarga mereka juga masih tinggal di Syria.

“Pelukan itu adalah isyarat spontan di antara mereka, tetapi media dan netizen telah menyebarkan kisah itu ‘ke arah’ yang lain,” kata Pengurus Komunikasi Persekutuan Sukan Syria, Safwan al-Hindi.

Jelasnya, Alaa yang berusia 21 tahun telah memilih untuk menyertai pasukan pelarian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan menegaskan bahawa pasukan Syria tidak menolaknya.

“Alaa mengatakan kepada kami pada awal bukan ini bahawa berenang membantunya mengatasi masalah yang membelenggunya,” kata Safwan.

Sumber: CGTN

Sofea

There's always another side to every story