Bertarung nyawa dan terlantar di ICU beberapa minggu lalu, abang arwah Siti Sarah, Ahmad Firdous, yang dijangkiti COVID-19 kini sudah semakin pulih.
Bagaimanapun, paru-parunya dipercayai telah rosak akibat daripada jangkitan virus tersebut.
Berkongsikan keadaannya di Facebook, Ahmad Firdous meluahkan rasa syukur dengan apa yang berlaku ke atas dirinya dan mengatakan mungkin akan mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk pulih sepenuhnya.
Dia juga meminta maaf kerana tidak dapat membalas satu persatu pertanyaan orang ramai mengenai dirinya.
“Ramai yang nak tahu keadaan saya sebenar, maaf saya tak dapat nak balas satu-satu.
“Paru-paru kanan saya rosak, paru kiri saya kena sikit di bahagian belakang.
“Tapi Alhamdulillah saya boleh pulih Insha Allah dengan izin Allah, ambik masa mungkin tiga hingga empat bulan Insha Allah,” katanya.
Menurutnya lagi, oksigen yang dipakai olehnya juga sudah dikurangkan dari 10 ke 9.
“Alhamdulillah syukur sangat, maaf tak dapat balas satu-satu, ada kala saya sihat dan ada kala saya kurang tenaga,” katanya.
Mengimbas kembali laporan pada tiga minggu lalu, Ahmad Firdous berada dalam keadaan tidak baik dan telah dimasukkan ke ICU selepas beberapa hari adiknya meninggal dunia.
Sumber: Ahmad Firdous Raissuddin