Siakap Keli
Gambar: Asri Sparepart

Abang Ni Sampai Kena ‘Bungkus’ Gerai Akibat Diganggu, Nampak ‘Cik Ponti’ & ‘Gula-Gula’ Kat Pokok

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Dalam adat berniaga, ada macam-macam cabaran yang terpaksa dihadapi peniaga. Selain kena ambil risiko tentang untung rugi, mereka juga berhadapan dengan karenah masyarakat di sekeliling.

Pasti ada yang tahu tentang isu dengki dalam perniagaan sampai melibatkan gangguan misteri. Begitulah yang dialami oleh pengguna Facebook, Asri Sparepart apabila gerai niaganya sering diganggu makhluk halus.

Lebih menyedihkan, gangguan tersebut agak teruk hingga mengakibatkan perniagaannya terpaksa ‘bungkus’ begitu saja. Oleh itu, jom baca perkongsian Asri dalam Kelab Cerita Hantu Malaysia (KCHM) seperti di bawah ini.

Gerai kena ‘ganggu’ sampai terpaksa berhenti niaga

Assalamualaikum sahabat KCHM semua. Mungkin rezeki atau bala kerana mata saya sering ternampak benda-benda pelik. Setengah sahabat mungkin ingat saya reka-reka cerita. Sebelum kerja di Kuantan lagi saya selalu ternampak benda-benda yang orang lain tak nampak tapi bukan selalu.

Pada awal 2019 saya pindah Gemas dah cuba berniaga di tepi jalan seperti gambar. Tapi saya berniaga siang hari, gambar ni saya ambil malam ni. Gerai saya depan rumah je. Saya berniaga dengan jiran sekali tapi pelbagaikan juadah. Saya niaga pisang goreng, air balang, jiran niaga ayam RM1, milo ais kepal.

Dalam awal berniaga kami, Alhamdulillah rezeki boleh tahan. Sampailah masuk bulan keempat, rezeki kami niaga mula merosot. Sampai modal pun tak lepas. Tapi saya dan jiran beranggapan rezeki tak ada.

Kejadian pelik mula terjadi kepada wife saya apabila nak buka (kedai) dia rasa badan sakit-sakit. Anak pulak badan gatal-gatal merah. Saya ingat alahan, bawa pergi klinik tapi krim je dapat. Gatal tak elok-elok. Wife badan makin sakit dan bisa-bisa.

Saya bincang dengan jiran untuk tutup gerai sementara. Saya tengok wife dan anak Alhamdulillah gatal dan sakit badan elok. Masa cuti niaga tu, satu malam saya lepak depan rumah sambil minum kopi, sorang-sorang.

Sambil pandang kat gerai saya, tiba-tiba saya terpandang ada benda bertenggek kat celah pokok kanan gerai saya. Untuk makluman semua gerai saya diapit oleh dua pokok besar kiri dan kanan. Saya ingat bayangan daun ke kerana kat situ ada lampu jalan. Tak puas hati saya masuk rumah ambil lampu suluh.

Gambar: Asri Sparepart

Saya pun suluhlah kat pokok tu, tempat saya ternampak benda tu. Apabila saya suluh je, Allahuakbar benda tu macam seekor beruk besar, mata merah dengan gigi taring pandang ke saya. Rasa nak pengsan pun ada.

Apabila saya suluh ke pokok sebelah kanan pulak siap menggoyangkan kepala, cik gula-gula. Berdiri celah dahan, kerana setiap pokok bercabang tiga. Masa tu saya terus masuk dalam rumah, habis pasu bunga saya langgar. Esoknya saya demam menggigil-gigil.

Wife call kakak saya kat Jementah dan cerita apa yang jadi kat saya. Ingat tak kakak saya yang tempat saya tak sedarkan diri. Kakak saya datang lepas Maghrib seramai empat orang termasuk kawan bernama Pak Abu (nama samaran), dia boleh mengubat orang.

Sampai je rumah saya, Pak Abu terus ke tapak gerai saya. Apa yang dibuat tak pasti kerana tak jelas. Yang nampak dia macam mulut terkumat-kamit je. Dan dia ada bercakap sorang-sorang. Lama jugak dia berdiri kat situ. 

Kami semua masuk dalam rumah. Wife buatkan kopi dan pisang goreng untuk dijamu kakak dan kawan-kawan dia. Dalam setengah jam barulah Pak Abu masuk rumah dan dia cakap ada tiga benda kat tapak gerai saya.

Satu, cik ponti. Hutan punya, rasa saya yang ikut balik masa saya kena kejar ketika menoreh kat Jelai. Ingat tak? Yang lagi dua lagi orang hantar untuk ganggu perniagaan saya dan jiran agar orang tak nak beli dan tak nampak gerai saya.

Kerana benda macam beruk dan cik gula-gula memang dah lama kat situ, dari mula-mula saya berniaga. Tapi dia ganggu tak kuatlah (sebelum ni). Ada sekali tu pelanggan datang beli tapi dia cakap kenapa pisang goreng ni sejuk. Padahal wife baru je goreng.

Lepas tu dia cakap carilah orang-orang pandai untuk gerai saya ni. Masa tu saya dan jiran tak ambil kisah dengan teguran pelanggan tu. Sekarang baru saya terfikir apa yang pelanggan tu maksudkan.

Saya dan keluarga telah diubati dan diruqyahkan. Masa saya dan keluarga diruqyahkan, mata saya terasa nak terkeluar dan saya batuk-batuk. Pak Abu cakap dalam keluarga saya, paling teruk kena saya. Makan dalam (dalam hati).

Dalam masa berubat tu, atap rumah macam kena baling dengan batu besar. Bunyi kuat sangat. Di tapak gerao pokok bergoyang kuat macam kena tiup angin, sambil bunyi mengilai dan orang menangis.

Habis je berubat saya tanya sambil berbual, ada sesiapa dengar benda jatuh atas atap tak. Semua menyatakan tak dengar, mereka dengar mengilai je kat luar. 

Pak Abu pesan tak payahlah niaga buat masa ni. Kalau nak berniaga juga carilah tempat lain yang jauh dari rumah saya. Saya ambil keputusan berhenti berniaga terus. Jiran-jiran pun sama berhenti niaga.

Mungkin saya tak ada rezeki untuk berniaga. Benda tu sampai sekarang masih ada kat pokok tu, cuma cik ponti je dah tak ada. Mungkin boring dengan beruk besar dan cik gula-gula, hilang tanpa dikesan.

Gambar tu saya ambil pada pukul 2100 pada 28hb Ogos 2021. Saya berharap kita akan berjumpa lagi sahabat-sahabat KCHM kalau saya teringat apa-apa pengalaman yang lain. Saya minta maaf kalau tak seram. Sekian terima kasih.

Sumber: Asri Sparepart melalui Kelab Cerita Hantu Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'