Dengan kereta yang ditinggalkan berkarat di laman serta pakaian berjenama dan perabot mewah tidak bersentuhan, sebuah rumah agam di London menimbulkan tanda tanya mengenai apa yang telah berlaku pemilik asalnya semasa ia ditinggalkan.
Menurut Daily Star, seorang lelaki telah berkongsi beberapa gambar daripada rumah tinggal itu di mana barang-barangan peribadi pemilik rumah terbiar tanpa disentuh. Apa yang peliknya, susunan barangan dalam rumah berkenaan seakan menggambarkan bahawa penghuni rumah tersebut tergesa-gesa meninggalkan kediaman tersebut.
Antaranya ialah pakaian-pakaian berjenama mewah seperti Gucci, Louis Vuitton dan Yves St Laurent selain jam tangan yang tidak terusik dibiarkan di sebuah meja di tepi katil.
Di tingkat atas pula, terdapat bilik air yang mempunyai jakuzi dengan botol syampu dan perapi yang telah digunakan terletak berhampiran.
Malah, terdapat pokok di dalam pasu berdekatan jendela didapati masih hidup.

Lebih menarik, permainan catur yang ditinggalkan dalam keadaan seperti sedang dimainkan seakan memberi gambaran pemilik rumah tersebut meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan tergesa-gesa.
Sementara itu, terdapat sekitar empat ke lima kenderaan termasuk sebuah Bentley yang telah berkarat diparkir di halaman luar rumah berkenaan dalam keadaan ditumbuhi rumput.

Dalam peti surat pula terdapat surat-surat yang bertarikh sejak 2016, memberi gambaran kemungkinan keluarga tersebut telah meninggalkannya sejak empat tahun lalu.
“Ia seakan penghuni rumah tersebut meninggalkan rumah tersebut di tengah malam dan lari tanpa membawa apa-apa. Ada pakaian yang baru didobi masih terbalut plastik, seolah-olah mereka tidak membawa pakaian,” katanya.
Tambah portal itu, lelaki tersebut percaya bekas penghuni rumah berkenaan merupakan milik warga Rusia berdasarkan rekod pemilikan hartanah di sana.

“Mungkin mereka pulang ke Rusia? Ia mungkin dalam keadaan tergesa-gesa, berus gigi pun masih ada,” ujarnya.
Difahamkan, rumah tersebut telah dibeli oleh seorang jutawan Greek, Athanasios Tachmintzis pada 1999. Dia tinggal di sana selama dua dekad bersama anak-anaknya. Pun begitu, tidak dapat dipastikan siapa yang terakhir menduduki rumah berkenaan sejak ia dibiarkan.

Sumber: Daily Star