Siakap Keli
Gambar: SCMP

“Saya Nak Jadi Contoh,” Pengetua Sekolah Makan Sisa Makanan Pelajar, Nak Didik Elak Pembaziran

Demi mendidik para pelajar agar tidak membazir makanan, seorang pengetua di Hunan, China bertindak memakan sisa makanan pelajarnya sendiri.

Lapor SCMP, Wang Yongxin yang merupakan pengetua sebuah sekolah menengah swasta mendapat perhatian ramai selepas rakamannya menghentikan pelajar daripada membuang makanan menjadi tular.

Menerusi video tersebut, dia dilihat berdiri berhampiran tong sampah kafe dan melarang para pelajar untuk membuang lebihan makanan mereka. Sebaliknya, lelaki berusia 58 tahun itu menghabiskan makanan tersebut, tulis SCMP.

Jelasnya, dia telah makan lebihan makanan para pelajarnya sejak minggu lalu. Malah, Wang menghabiskan lebihan sekitar enam ke tujuh muridnya ketika rehat pada waktu tengah hari.

“Saya nak jadi contoh kepada para pelajar, biar mereka tahu salah membazir makanan. Tindakan saya bukan saja kejutkan para pelajar, tapi juga guru.

Gambar: SCMP

“Sebahagian anak-anak habiskan makanan mereka selepas melihat saya makan lebihan makanan rakan mereka. Sekarang, sebahagian mereka memberitahu staf berapa banyak makanan mereka perlukan, sekaligus membantu mengelakkan pembaziran,” tambahnya.

Bagaimanapun, tindakan pengetua tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang memuji tauladan ditunjukinya, ada juga yang menzahirkan kekhuatiran terhadap kebersihan.

“Bagus untuk berjimat, tapi makan sisa orang lain adalah contoh tak baik mengawal epidemik. Mungkin mereka perlu fikirkan cara lain untuk didik para pelajar,” tulis salah seorang pengguna Weibo seperti dipetik SCMP.

Pun begitu, Wang tidak menganggap perkara tersebut sebagai masalah baginya.

“Ia dari dapur yang sama. Semua pelajar dan guru makan di sini. Saya anggap para pelajar seperti anak saya, jadi tiada halangan dalam fikiran saya,” katanya.

Memetik SCMP, kajian oleh sebuah akademi sains tempatan pada 2018 mendapati sebanyak 11.7 peratus makanan telah dibazirkan para pengunjung restoran. Malah, dalam acara besar, kadar pembaziran meningkat kepada 38 peratus manakala para pelajar negara itu didapati membuang satu pertiga daripada bekal makanan mereka, tulis portal itu memetik kajian di bawah Institut Penyelidikan Sains Geografi dan Sumber Asli tempatan.

Gambar: SCMP

Sumber: SCMP

"