Siakap Keli

Pusat Kecemerlangan Area 57 Dibangunkan Di Technology Park Malaysia

16 September, 2021, Kuala Lumpur – Perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial  Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS) di Malaysia terus giat dimajukan dengan  penyediaan Area 57, sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta  pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Technology Park Malaysia (TPM).  

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini hadir merasmikan  pra-pelancaran Pusat Kecemerlangan Area 57. Area 57 akan menyediakan infrastruktur  bersepadu di kawasan seluas 5 ekar bagi perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengujian,  pensijilan, pembuatan, pengkomersialan serta penyelenggaraan penyelesaian dan teknologi  berkaitan dron untuk memanfaatkan komuniti pengguna dan pengeluar dron. Area 57 merupakan  pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan  UAS) di wilayah tengah Malaysia. 

Pusat sehenti perkembangan industri dron ini disediakan dengan landasan dron 100 meter,  kawasan jaring dron 300 meter persegi, tapak mock up pengujian dron, hangar, makmal,  peralatan pembuatan, fasiliti latihan dan kawasan pengujian prototaip, pejabat operasi serta  bengkel perkhidmatan dan penyelenggaraan dron untuk kegunaan pengendali dron.  

Pusat Kecemerlangan Area 57 merupakan salah satu tambahan di bawah penyeliaan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang mempunyai tiga lapangan ujian atau test site lain di  FELDA Mempaga Pahang, Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) dan dron  penghantaran urban di Cyberjaya.  

Penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi, seperti sistem pesawat  tanpa pemandu (UAV) atau dron, dapat mendorong pemulihan dan memacu pertumbuhan  ekonomi Malaysia. Pusat kecemerlangan Area 57 ini dapat membantu Malaysia mencapai  matlamatnya untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron di mana pasaran dron  global diunjurkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026. 

Melalui Area 57, Usaha pembangunan teknologi dron harus dipergiatkan. Perkhidmatan melalui  dron dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik  penghantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang  terjejas oleh bencana alam; pengurusan infrastruktur dan pemantauan sekuriti dalam  penyelenggaraan bangunan pintar, bandar pintar atau maritim; agrikultur urban dan lain-lain lagi.

TPM akan berganding bahu dengan agensi-agensi lain untuk mempermudahkan perkembangan  industri dron dari segi pensijilan, kelulusan frekuensi, kelulusan kamera, serta kelulusan  keselamatan pengendalian dron di Area 57 justeru melibatkan, antara lain, Pihak Berkuasa  Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SIRIM, Malaysian Global Innovation  and Creativity Center (MaGIC), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan  Kerajaan Malaysia. MOSTI melalui TPM juga komited dan menyambut baik kerjasama dengan  akademia daripada pelbagai Institut Pendidikan Tinggi dan syarikat-syarikat dron tempatan. 

Aerodyne Group, syarikat dron dari Malaysia yang telah mendapat sambutan global, akan  berperanan sebagai penasihat kepada Area 57. Aerodyne merupakan salah satu penyedia  penyelesaian perusahaan berasaskan dron dan pelopor dalam penggunaan Artificial Intelligence  sebagai teknologi untuk operasi data, analisis, dan pengoptimuman proses berskala besar (Drone  Tech, Data Tech & Digital Transformation). 

Dengan gelaran sebagai penyedia penyelesaian berasaskan dron kedua di dunia oleh Drone  Industry Insights (DII) pada 2020, Aerodyne berusaha mewujudkan bandar pintar melalui inovasi  teknologi dron dalam pengawasan dan keselamatan, pembangunan infrastruktur, pertanian pintar  dan sebagainya. Demontrasi dron di Area 57 hari ini juga memuatkan penerbangan dron yang  beroperasi secara Beyond Visual Line of Sight (BVLOS) untuk menangkap data secara jarak jauh  dengan kelulusan CAAM. 

Sejak tahun lalu, TPM juga telah mengambil inisiatif untuk menembusi pasaran teknologi dron  dan robotik melalui inisiatif NTIS. Projek-projek rintis ini selaras dengan Rangka Kerja 10-10  Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10), inisiatif National Technology and  Innovation Sandbox (NTIS) yang berusaha mentransformasikan Malaysia menjadi negara  berteknologi dan berpendapatan tinggi melalui langkah penyelesaian berasaskan inovasi.  

Siti Fatimah