Dipercayai berang kerana pelanggan tidak mahu membayar upah pengubahsuaian, seorang kontraktor di Colorado bertindak memecahkan semula tandas dibinanya, lapor Daily Mail.
Menurut portal itu, kontraktor berkenaan telah menggunakan tukul untuk menghancurkan dinding dan jubin dipasang dengan bayaran sepatutnya sekitar AS$4,000 (anggaran RM16,746).
“Kami habiskan masa berminggu-minggu dan beribu dolar untuk ini,” katanya.
Tambah Daily Mail, jiran kepada pemilik rumah tersebut telah meminta kontraktor berkenaan menghentikan tindakan itu, namun tidak diendahkan.
“Ada orang nak bayar saya ke?” katanya kepada jiran berkenaan seperti dipetik portal tersebut.
“Biar saya beritahu kamu sesuatu. Tak ada kontraktor di Colorado akan baiki (kerosakan) ini jika mereka tahu saya hancurkannya kerana kamu tak bayar saya,” ujarnya.

Bagaimanapun, pemilik rumah berkenaan mendakwa telah membayar sejumlah wang bernilai AS$3,330 (sekitar RM13,961) dan berhutang AS$7,555 (sekitar RM31,674).
Jelasnya, dia diberi masa sehingga petang Jumaat untuk membayar baki berkenaan. Bagaimanapun, selepas melihat keadaan pintu tandas yang belum dipasang, dia telah meminta kontraktor berkenaan untuk kembali menyelesaikan kerjanya.
Pun begitu, pada Sabtu pagi, kontraktor tersebut didakwa datang kembali dengan membawa alatan untuk meruntuhkan tandas tersebut semasa dia sedang bekerja.


Sumber: Daily Mail