Siakap Keli
Kredit: Bernama

KPM Tidak Halang Kehadiran Pelajar Tolak Vaksin Di Sekolah

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) — Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menghalang pelajar yang tidak mengambil vaksin COVID-19 daripada hadir di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan nanti.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang menolak vaksin itu tetapi hanya sebilangan kecil kerana ibu bapa yang tidak bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.

“Seseorang pelajar itu ada hak (untuk belajar dan datang ke sekolah). Tiada sebab untuk KPM menghalang mereka kembali ke sekolah (tanpa vaksin). Kaunseling akan diberikan khususnya kepada ibu bapa kerana bukan pelajar yang enggan menerima vaksin tetapi ibu bapa yang tolak,” katanya pada sidang media khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bersama Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di sini hari ini.

Beliau berkata KPM melalui pejabat pendidikan daerah (PPD) telah mengeluarkan arahan kepada sekolah di seluruh negara supaya pemberian janji temu bagi PICK Remaja dapat dipercepatkan untuk memastikan kejayaannya.

Katanya pelbagai kaedah akan diambil KPM untuk memberi penerangan kepada ibu bapa tentang keperluan vaksin supaya mereka bersedia demi keselamatan serta melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan serius COVID-19.

“KPM bersedia mengadakan hebahan membantu ibu bapa dan sekolah mencapai matlamat. KPM merancang untuk menghantar pelbagai bahan hebahan untuk membantu ibu bapa menerima maklumat yang betul supaya bersetuju membenarkan anak-anak menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, Dr Mah berkata prinsip yang dipegang kementerian itu adalah memastikan seramai mungkin pelajar menerima vaksin COVID-19 menerusi PICK Remaja dalam masa terdekat.

Beliau berkata prinsip itu adalah seiring dengan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

“KPM tidak memilih jurusan mana atau kumpulan mana tetapi lebih kepada pembukaan sekolah khusus Tingkatan 6 atau pelajar yang perlu kembali ke sekolah untuk membuat persediaan peperiksaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "