Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah jiwa telah mencampak seorang bayi satu bulan dari balkoni tingkat dua bangunan di New Jersey Sabtu lalu, lapor Daily Star.
Dalam kejadian pagi itu, bayi berkenaan dilaporkan selamat selepas berjaya disambut oleh seorang polis yang berada di tempat kejadian.
Tambah portal itu, dua pegawai polis telah menerima panggilan kecemasan mendakwa seorang lelaki mengugut untuk mencampak seorang bayi di sebuah bangunan tempatan.
Sebaik sahaja tiba, didapati lelaki tersebut sedang memegang bayi berkenaan dalam keadaan tergantung dari luar balkoni bangunan berkenaan.
Memetik Daily Star, kedua-dua mereka cuba berbincang untuk menenangkan suspek, namun gagal sebelum dia bertindak mencampak bayi malang itu.
Nasib menyebelahi bayi berkenaan apabila dia sempat disambut oleh salah seorang polis dan dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, mangsa tetap dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Susulan itu, suspek telah ditangkap dan sedang menjalani pengesahan kesihatan mental sebelum dihadapkan dengan tuduhan, tulis portal tersebut.
Sumber: Daily Star