Siakap Keli
Gambar: IG Vituzzo

Kisah Vituzzo, Si Oyen Berkaki ‘Bionik Yang Mempunyai Hampir 18k ‘Followers’ Di Instagram

Bagi pencinta kucing, semua keadaan yang ada pada fizikal seekor kucing tetap akan dipandang comel, tidak kiralah sama ada ia sempurna mahupun kurang upaya.

Di Malaysia misalnya, ada beberapa kucing yang pernah terkenal kerana kecomelannya hingga meraih puluhan ribu pengikut di media sosial seperti Jep, Fluffy, Hamdan dan lain-lain.

Lain pula ceritanya di Itali, seekor kucing berwarna oren menjadi terkenal dan diminati ramai kerana memiliki sepasang kaki palsu yang dipakaikan di kaki belakangnya.

Vito atau nama panjangnya Vituzzo telah kehilangan dua kaki belakangnya selepas dilanggar kenderaan dalam satu kejadian di Milan beberapa tahun dahulu.

Difahamkan, ketika itu tuannya, Silvia Gottardi sedang pergi berbulan madu di tempat lain bersama isteri, Linda Rozonzi, sementara Vito pula hanya bersendirian di rumah.

Selepas mendapat berita ia dilanggar, tuannya bersama isteri terus bergegas pulang ke rumah dalam kadar segera.

Ketika itu Vito terpaksa dikejarkan ke hospital kerana kecederaan teruk. Keadaannya yang parah menyebabkan kedua-dua kaki belakangnya terpaksa dibedah.

Doktor bedah yang merawatnya bertindak memasang sepasang kaki palsu pada baki kaki belakangnya yang masih ‘hidup’ supaya dapat membantu pergerakannya setiap masa.

Difahamkan, pemasangan kaki palsu protestik seperti yang disambungkan pada kaki Vito itu adalah inovasi pertama yang berjaya dicipta dalam dunia perubatan haiwan di Itali.

Sejak kejadian itu, foto-foto Vito tular dan mula mendapat perhatian dunia. Si Oyen ini juga memiliki akaun Instagramnya sendiri, iaitu @vituzzosuperstar yang kini diikuti hampir 18,000 pengikut.

Sumber: BBC / Instagram Vituzzo

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'